TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Buriram United hampakan JDT, mara ke final bertemu Selangor FC

By
|
Kongsi
image

BURIRAM 14 Mei – Pemain tengah, Kingsley Schindler, muncul wira buat Buriram United apabila jaringannya pada masa tambahan memastikan gergasi Thailand itu mara ke perlawanan akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/26. Walaupun Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 dalam aksi timbal balik di Arena Chang malam tadi, Buriram United tetap melangkah ke final dengan kelebihan agregat 4-3.

Kekalahan ini memusnahkan impian Harimau Selatan untuk memburu trofi keempat musim ini, selain membatalkan kemungkinan pertembungan 'All Malaysian' di pentas akhir memandangkan Selangor FC telah lebih awal mengesahkan tempat ke perlawanan kemuncak tersebut.

Kronologi Perlawanan

JDT memulakan asakan awal dan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-27 menerusi percubaan jarak jauh Bergson da Silva, namun berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah, Neil Etheridge. Harimau Selatan akhirnya mendapat talian hayat di penghujung babak pertama apabila pengadil memberikan sepakan penalti selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan kekasaran Etheridge ke atas Marcos Guilherme. Bergson dengan tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk meletakkan JDT di depan 1-0 sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, JDT terus menggandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-61 melalui gol kuisan mudah Marcos Guilherme, sekali gus mengikat agregat menjadi 3-3 sehingga permainan diheret ke masa tambahan.

Drama Masa Tambahan

Buriram United akhirnya bangkit menerusi rembatan deras Kingsley Schindler pada minit ke-97 yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol JDT, Syihan Hazmi. Keadaan menjadi semakin tegang apabila pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Guilherme Bissoli dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-101.

Keadaan Buriram semakin meruncing apabila seorang lagi pemain, Goran Causic, turut diperintah keluar padang pada minit ke-114. Bagaimanapun, disebalik kekurangan dua pemain, Buriram United kental mempertahankan kubu mereka sehingga wisel penamat untuk mara ke final buat kali kedua berturut-turut bagi mempertahankan gelaran juara.

+ - reset