TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes saman fitnah selesai secara baik, Jamal mohon maaf kepada KJ

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 22 Mei - Kes saman fitnah difailkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos selesai secara baik selepas defendan membuat permohonan maaf di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam Shakeel Saifuzzaman yang mewakili Khairy selaku plaintif berkata, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan saman berkenaan tanpa perlu melalui proses perbicaraan penuh.

“Kedua-dua pihak bersetuju dengan terma-terma yang diberikan, jadi hari ini kes selesai tanpa perlu melalui perbicaraan,” katanya selepas prosiding penyelesaian kes direkodkan di hadapan Hakim Datuk Anand Ponnudurai.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Nasser Yusof yang mewakili Jamal.

Terdahulu, pada 19 September 2023, Jamal memfailkan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan atas alasan tuntutan terhadapnya tidak jelas, mengaibkan serta disifatkan sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Khairy memfailkan saman itu pada 24 Mei 2023 susulan kenyataan yang didakwa dibuat Jamal ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada 14 Januari 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut plaintif, Jamal ketika itu mengadakan sidang media yang dihadiri pengamal media, perwakilan UMNO serta beberapa ahli dan pemimpin parti.

Khairy turut mendakwa Jamal memuat naik rakaman video bertajuk “Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semberono dan memalukan UMNO #UMNODuluKiniDanSelamanya” di Facebook menggunakan akaun ‘DS Jamal Yunos Official’.

Selain itu, rakaman sama juga didakwa dimuat naik di aplikasi TikTok menerusi akaun ‘jamal_yunos’.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu mendakwa kenyataan berbaur fitnah berkenaan membawa maksud beliau seorang pemimpin yang tiada integriti, tidak layak menjadi pemimpin selain tidak setia kepada UMNO serta kepimpinan parti.

+ - reset