Berita Berita
Krisis politik Negeri Sembilan: Mohamad Hasan syorkan bubar DUN pulangkan mandat kepada rakyat
SEREMBAN 22 Mei – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dilihat sebagai jalan penyelesaian paling ampuh bagi merungkai kemelut politik yang sedang melanda pentadbiran negeri ketika ini.
Saranan itu dikemukakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegaskan bahawa langkah berkenaan penting bagi menyerahkan semula kuasa mutlak kepada rakyat untuk memilih saf kepimpinan baharu yang layak memimpin negeri.
Beliau menjelaskan, mengikut prinsip demokrasi, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun secara dasarnya telah kehilangan sokongan majoriti selepas kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kem UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertindak menarik balik sokongan terhadap kepimpinan beliau.
"Kalau Aminuddin sudah tidak dapat lagi kepercayaan majoriti daripada Ahli Dewan, sebaiknya beliau membubarkan DUN dan kita pulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang mereka nak untuk mentadbir Negeri Sembilan.
"Jangan kita bising ke sana ke mari, ia menyebabkan rakyat rasa tidak tenteram. Sudahlah dengan keadaan dunia tidak stabil dengan peperangan, jadi kita buat elok-elok," katanya ketika ditemui pihak media selepas menyempurnakan perasmian Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sendayan di Stadium Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sendayan, hari ini.
Mohamad yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau serta ADUN Rantau menyatakan, penyertaan UMNO dan BN dalam wadah Kerajaan Perpaduan adalah atas dasar tanggungjawab bersama untuk mengurus tadbir negara serta negeri, bukannya demi mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu sidang DUN tergempar diadakan dalam kadar segera bagi memberikan ruang yang adil kepada Aminuddin untuk menguji dan membuktikan sama ada beliau masih mempunyai angka sokongan yang mencukupi untuk mengekalkan jawatan tersebut.
Ketegangan politik di negeri berkenaan memuncak selepas Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias membuat pengumuman rasmi mengenai keputusan sebulat suara blok BN yang hilang kepercayaan terhadap menteri besar ekoran konflik yang menyentuh sensitiviti perlembagaan dan institusi adat negeri.
Kemelut berkenaan dilaporkan mula tercetus berikutan tindakan drastik pihak Undang Luak yang membuat pengisytiharan untuk melucutkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong baru-baru ini.
Berita berkaitan
May 22, 2026, 8:19 pm
Ibu sedih anak kerap dibuli di sekolah hingga retak tulang tangan, muka lebam
May 22, 2026, 4:43 pm
Ustaz Mad Kecik selamat diijabkabulkan dengan pelajar madrasah
May 22, 2026, 4:43 pm
Lelaki kurung, dera remaja 14 tahun di Bukit Kemuning dipenjara 15 bulan
May 22, 2026, 3:45 pm
PAS sedia timbang penyertaan BERSAMA dalam PN – Abdul Hadi
May 22, 2026, 3:41 pm
Krisis Asia Barat: Perdana Menteri beri jaminan bekalan tenaga negara mencukupi
May 22, 2026, 1:47 pm
