TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu sedih anak kerap dibuli di sekolah hingga retak tulang tangan, muka lebam

By
|
Kongsi
image

 

JITRA 22 Mei – Seorang murid lelaki Tahun Tiga sebuah sekolah di sini didakwa mengalami kecederaan termasuk keretakan tulang tangan akibat dibuli rakan sekelas dalam beberapa kejadian berasingan sejak tahun lalu.

Ibu kanak-kanak itu yang hanya mahu dikenali sebagai Fatin, 32, mendakwa anaknya mengalami kecederaan dalam insiden pada 17 Mei tahun lalu serta 26 Mac dan 17 Mei tahun ini.

Menurutnya, kejadian berulang itu menyebabkan anaknya kini trauma dan takut untuk kembali ke sekolah berkenaan sehingga mereka sekeluarga membuat keputusan memindahkannya ke sekolah lain.

“Insiden pertama berlaku pada 17 Mei tahun lepas apabila anak mengadu dia ditolak sehingga jatuh. Pada hari kejadian saya terpaksa membawanya menjalani pemeriksaan di sebuah hospital swasta kerana dia menangis kesakitan dan disahkan ada keretakan pada lengan kanan.

“Suami terpaksa tanggung kos rawatan sehingga RM5,000. Luluh hati apabila mendapat tahu perkara ini dan akibatkan anak terpaksa cuti sakit selama dua minggu. Saya masih berdiam dan beranggapan positif tentang insiden ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Fatin berkata, kejadian kedua pula berlaku sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu apabila anaknya didakwa ditampar sehingga lebam pada bahagian pipi dan mata.

“Kejadian berlaku sebelum hari raya menyebabkan anak saya tertekan kerana malu ingin beraya dengan lebam pada mukanya. Saya mula mempersoalkan tindakan pihak sekolah kenapa tiada apa-apa tindakan.

“Namun baru-baru ini berlaku lagi insiden apabila seorang murid cucuk muka anak saya dengan pensil sehingga terkena bahagian bawah mata,” dakwanya.

Menurut suri rumah itu, beliau bersama suaminya dipanggil menghadiri satu majlis muafakat pada 18 Mei lalu, namun mendakwa penyelesaian yang diberikan pihak sekolah amat mengecewakan.

“Anak saya turut dipersalahkan dalam hal ini dan pihak sekolah dilihat tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menyelesaikan perbuatan murid berkenaan yang boleh dianggap membuli.

“Pada hari yang sama saya dan suami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu. Kami turut membuat keputusan untuk memindahkan anak kami ke sekolah lain. Saya risau kalau dia bersekolah di situ lagi lebih banyak kecederaan yang akan dialaminya,” jelasnya.

Katanya, walaupun terpaksa menghantar anak ke sekolah yang lebih jauh dari rumah, mereka reda demi keselamatan anak sulung mereka itu.

“Cuma kami berharap pihak terlibat memandang serius isu ini dan melakukan sesuatu untuk menyelesaikannya demi keselamatan lebih 1,000 murid sekolah berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, anaknya kini dilihat lebih ceria apabila bakal memulakan sesi pembelajaran di sekolah baharu selepas cuti persekolahan selama dua minggu ini.

+ - reset