Berita Berita
Misi Flotilla GSF 2.0 disabotaj rejim Zionis, Amirudin Shari terselamat daripada insiden bot karam
SHAH ALAM 22 Mei – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan detik cemas yang dilalui beliau apabila sebuah bot yang dijadualkan untuk membawa beliau dan delegasi kemanusiaan menjadi sasaran sabotaj rejim Zionis sehingga tenggelam.
Insiden itu berlaku ketika fasa akhir misi kemanusiaan antarabangsa, Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang bertujuan menghantar bantuan dan memecahkan sekatan di Semenanjung Gaza.
Amirudin yang diberi mandat penuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai rombongan dari Malaysia itu percaya, pihak berkuasa Israel telah mengintip rapi pergerakan mereka dan berjaya mengenal pasti kenderaan air yang sepatutnya dinaiki oleh beliau.
“Bot itu ditenggelamkan, dipercayai disabotaj sebelum saya sempat naik ataupun sebelum mereka mendarat untuk delegasi yang akan bersama saya naik. Sebenarnya saya sepatutnya mengikuti dalam perjalanan terakhir itu tetapi mereka dapat mengesan bot yang saya akan gunakan.
“Bagaimanapun, tindakan rejim berkenaan langsung tidak akan mematahkan semangat delegasi Malaysia untuk terus melaungkan solidariti demi kebebasan bumi Gaza. Kita tidak akan berhenti di sini bagi memastikan mesej memecah kesunyian terhadap isu penindasan ini sampai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis Peluncuran Program Tuisyen Rakyat Selangor & Program Didik Kasih di sini hari ini.
Mengulas mengenai tindakan ganas tentera laut rejim yang menahan serta melakukan kekerasan fizikal terhadap 29 aktivis warga Malaysia dalam misi yang sama, Amirudin tanpa berselindung menyifatkan operasi ketenteraan tersebut sebagai satu tindakan penculikan yang terdesak.
Beliau menegaskan, serangan agresif itu mencerminkan ketakutan melampau pihak Tel Aviv melihat sokongan komuniti antarabangsa yang semakin meluas, selain mendedahkan tindakan khianat serta merosakkan aset flotilla itu dilakukan sebanyak dua kali iaitu di perairan Greece dan berdekatan Turkiye.
“Bersyukur kepada Allah kerana mereka akhirnya dibebaskan walaupun kali ini mereka menerima penderaan dan tekanan fizikal daripada rejim. Mereka ditahan di perairan antarabangsa, jadi saya anggap ia satu penculikan yang dibuat dalam keadaan terdesak," jelasnya lagi.
Kesemua 29 sukarelawan Malaysia berkenaan dilaporkan dijadualkan tiba di tanah air pada hujung minggu ini dan akan disambut sendiri oleh beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mengenai status 30 kontena barangan bantuan yang dibawa bersama misi berkenaan, pihak kerajaan negeri kini sedang menunggu laporan akhir bagi memastikan semua barangan selamat sampai ke destinasi, malah beliau tidak menolak kemungkinan untuk turun sendiri bagi memantau proses agihan bekalan tersebut nanti.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan kesemua mangsa tahanan warga Malaysia itu telah selamat tiba di Istanbul, Turkiye pada jam 5.45 petang waktu tempatan, namun enam daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan akibat dikasari oleh tentera rejim dan sedang menerima pemeriksaan kesihatan lanjut.
Berita berkaitan
May 22, 2026, 8:19 pm
Ibu sedih anak kerap dibuli di sekolah hingga retak tulang tangan, muka lebam
May 22, 2026, 4:43 pm
Ustaz Mad Kecik selamat diijabkabulkan dengan pelajar madrasah
May 22, 2026, 4:43 pm
Lelaki kurung, dera remaja 14 tahun di Bukit Kemuning dipenjara 15 bulan
May 22, 2026, 3:45 pm
PAS sedia timbang penyertaan BERSAMA dalam PN – Abdul Hadi
May 22, 2026, 3:41 pm
Krisis Asia Barat: Perdana Menteri beri jaminan bekalan tenaga negara mencukupi
May 22, 2026, 1:47 pm
