Berita Berita
Ustaz Mad Kecik selamat diijabkabulkan dengan pelajar madrasah
MARANG 22 Mei – Pendakwah bebas yang juga pengasas institusi pengajian agama, Ustaz Muhammad Abdullah, 33, atau lebih mesra disapa dalam kalangan pengikutnya sebagai Ustaz Mad Kecik (UMK), selamat bergelar suami kepada pasangan pilihannya, Nor Suhada Mohd. Azam, 26, hari ini.
Majlis akad nikah pasangan berkenaan telah disempurnakan dengan penuh rasa syukur dalam satu majlis berkonsepkan kesederhanaan yang berlangsung di kediaman keluarga pihak pengantin perempuan di Bukit Payung, di sini pagi tadi.
Abang kepada pendakwah berkenaan, Mohd. Faizul Abdullah, 41, mengesahkan bahawa upacara ijab kabul adik lelakinya itu selesai dilaksanakan kira-kira jam 10 pagi dengan disaksikan oleh ahli keluarga terdekat serta sahabat handai.
“Pengantin perempuan merupakan pelajar Madrasah Darul Ansor, Wakaf Tapai, Marang dan perkenalan mereka diatur oleh guru-guru.
“Selain itu, keluarga juga memainkan peranan penting sehingga termeterainya ikatan perkahwinan mereka hari ini,” jelas beliau ketika ditemui pihak media di sini hari ini.
Mengulas mengenai perancangan majlis kesyukuran seterusnya, Mohd. Faizul memaklumkan bahawa majlis menyambut menantu bagi pihak lelaki dijadualkan berlangsung pada 28 Mei ini bertempat di Madrasah Darul Zahraa, Kampung Dura, Hulu Terengganu iaitu pusat pengajian yang diasaskan sendiri oleh UMK.
Pihak keluarga pengantin turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang tidak putus-putus menitipkan doa serta memberikan sokongan moral terhadap usaha dakwah yang digerakkan oleh UMK selama ini.
Nama Ustaz Mad Kecik mula meraih perhatian dan sanjungan meluas daripada netizen tanah air selepas beliau melibatkan diri secara aktif sebagai antara aktivis tempatan yang menyertai misi kemanusiaan antarabangsa, Global Sumud Flotilla (GSF) pada bulan Oktober tahun lalu.
Berita berkaitan
May 22, 2026, 8:19 pm
Ibu sedih anak kerap dibuli di sekolah hingga retak tulang tangan, muka lebam
May 22, 2026, 4:43 pm
Lelaki kurung, dera remaja 14 tahun di Bukit Kemuning dipenjara 15 bulan
May 22, 2026, 3:45 pm
PAS sedia timbang penyertaan BERSAMA dalam PN – Abdul Hadi
May 22, 2026, 3:41 pm
Krisis Asia Barat: Perdana Menteri beri jaminan bekalan tenaga negara mencukupi
May 22, 2026, 1:47 pm
