Berita Berita
Lelaki kurung, dera remaja 14 tahun di Bukit Kemuning dipenjara 15 bulan
SHAH ALAM 22 Mei - Seorang lelaki yang tular kerana mengurung dan mencederakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning minggu lalu dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Tertuduh, Mohamad Fadwan Abd Muaain, 42, yang bekerja sebagai pemungut hutang dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Bagi kesalahan mengurung mangsa, duda yang mempunyai seorang anak itu dihukum penjara sembilan bulan bermula Jumaat.
Sementara itu, bagi kesalahan mencederakan remaja sama, dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas selesai menjalani hukuman bagi kesalahan mengurung.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki yang memakai baju-T merah berbelang hitam itu didakwa mengurung mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun satu bulan dengan mengikat tangan dan kaki remaja berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 32 di sini antara jam 8.05 pagi hingga 11.50 pagi pada 11 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi, tarikh dan waktu sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman serupa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amirah Zahari manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Adli Hakim Azami.
Dalam perkembangan sama, lelaki berkenaan turut mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh serupa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, KS Rinisha Priyya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, Hakim Rasyihah Ghazali menetapkan 8 Jun depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.
Berita berkaitan
May 22, 2026, 8:19 pm
Ibu sedih anak kerap dibuli di sekolah hingga retak tulang tangan, muka lebam
May 22, 2026, 4:43 pm
Ustaz Mad Kecik selamat diijabkabulkan dengan pelajar madrasah
May 22, 2026, 3:45 pm
PAS sedia timbang penyertaan BERSAMA dalam PN – Abdul Hadi
May 22, 2026, 3:41 pm
Krisis Asia Barat: Perdana Menteri beri jaminan bekalan tenaga negara mencukupi
May 22, 2026, 1:47 pm
