TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

21 AJK PKR Shah Alam letak jawatan, dakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 25 Mei – Seramai 21 Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Shah Alam bersama sebahagian besar pimpinan termasuk sayap wanita mengumumkan peletakan jawatan serta pengunduran daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan bersama itu, kumpulan berkenaan mendakwa keputusan tersebut dibuat selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti dan Ketua Cabang Shah Alam, Najwan Halimi.

“Kami telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti khususnya Presiden PKR, Anwar Ibrahim susulan janji-janji reformasi dilihat tidak lagi diterjemahkan dalam amalan sebenar serta kegagalan mempertahankan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan demokrasi dalaman yang pernah menjadi tunjang perjuangan parti.

"Di peringkat cabang pula, kami turut kecewa dengan kepimpinan Najwan yang dilihat gagal mengamalkan prinsip konsultasi dan kebersamaan dalam membuat keputusan," katanya pada Isnin.

AJK PKR Cabang Shah Alam menambah, mereka yang dipilih melalui pemilihan parti tidak dirunding atau dilibatkan dalam beberapa keputusan penting termasuk pelantikan politik dan urusan organisasi cabang.

Malah, mereka mendakwa beberapa keputusan dibuat tanpa perbincangan rasmi bersama AJK yang dipilih walaupun proses konsultasi dan penghormatan terhadap mandat kepimpinan diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

“Kami percaya sesebuah parti politik mesti mengamalkan nilai reformasi dan demokrasi yang dilaungkan kepada rakyat.

"Malangnya, kami tidak lagi melihat prinsip-prinsip tersebut diamalkan secara konsisten dalam PKR pada hari ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, kumpulan itu menegaskan bahawa perjuangan demi rakyat dan negara tetap diteruskan meskipun tidak lagi bersama parti tersebut.

Turut disertakan bersama kenyataan itu adalah senarai 21 nama AJK dan kepimpinan wanita cabang berkenaan yang membuat keputusan meninggalkan parti.

+ - reset