Berita Berita
Polis hantar pasukan penyiasat tragedi pelantar minyak ragut tiga nyawa, orang ramai diminta henti 'reka cerita'
KUALA TERENGGANU 25 Mei – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan di pelantar minyak Sepat yang terletak kira-kira 150 kilometer dari perairan Kuala Terengganu semalam, yang mengorbankan tiga pekerja luar pesisir.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor berkata, seorang lagi mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Setakat ini, kes disiasat di bawah laporan mati mengejut. Bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSNZ hari ini.
Menurut beliau, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dihantar ke lokasi kejadian di pelantar berkenaan bagi menjalankan siasatan terperinci.
“Sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah, kes ini akan diklasifikasikan semula dan diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Azli berkata, proses siasatan masih berjalan dan polis kini menunggu laporan penuh berhubung insiden berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian tersebut khususnya di media sosial.
“Terdapat pelbagai spekulasi dan maklumat tidak tepat yang tular termasuk yang dikaitkan dengan pihak tertentu. Orang ramai diminta supaya tidak membuat atau menyebarkan kenyataan tidak benar,” katanya.
Dalam kejadian itu, keempat-empat mangsa dilaporkan terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang; serta Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.
Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah akibat patah tulang dan kini menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ.
Berita berkaitan
May 25, 2026, 3:58 pm
Sokong pekebun kecil, Kerajaan teruskan skim bantuan BUDI Agri-Komoditi secara bersasar
May 25, 2026, 3:54 pm
JASANUSA gesa SPRM siasat syarikat tawar pakej qurban luar negara
May 25, 2026, 3:48 pm
Petronas beri jaminan stok minyak negara cukup sehingga Julai
May 25, 2026, 2:44 pm
Kes rasuah Muhyiddin: Mahkamah panggil Tengku Zafrul jadi saksi Julai ini
May 25, 2026, 2:04 pm
Penduduk di kebanyakan negeri dijangka sambut Aidiladha dalam hujan dan ribut petir
May 25, 2026, 1:07 pm
21 AJK PKR Shah Alam letak jawatan, dakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti
May 25, 2026, 12:42 pm
Maha Berjaya raih sambutan luar biasa, lebih 1,000 kambing qurban terjual tahun ini
May 25, 2026, 11:31 am
