TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rakyat kini ada pilihan baharu bagi urusan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan selain PUSPSKOM - Anthony

By
|
Kongsi
image

 

KAJANG 26 Mei – Orang ramai kini mempunyai alternatif baharu bagi urusan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan persendirian apabila lapan pusat pemeriksaan baharu dijadual memulakan operasi pada 16 Jun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pusat pemeriksaan itu dikendalikan oleh Carro Technology Sdn Bhd susulan keputusan kerajaan membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor kepada syarikat lain yang layak selain PUSPAKOM.

“Pelancaran ini susulan pengumuman kerajaan pada 16 Julai tahun lalu berhubung pelantikan syarikat baharu bagi melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor khusus untuk pemeriksaan tukar hak milik persendirian selain daripada PUSPAKOM.

“Inisiatif ini juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor kepada syarikat lain,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) Tukar Hak Milik Persendirian (M.V.15) Carro Technology Sdn Bhd di sini hari ini.

Menurut beliau, lapan pusat pemeriksaan tersebut akan beroperasi di Glenmarie, Kajang dan Klang di Selangor, Wangsa Melawati di Kuala Lumpur, Bayan Lepas di Pulau Pinang, Melaka serta Muar dan Johor Bahru di Johor.

Katanya, operasi pusat pemeriksaan berkenaan tertakluk kepada syarat dan piawaian ketat yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk penyediaan infrastruktur dan peralatan pemeriksaan lengkap selain integrasi sistem operasi dengan MySIKAP.

“Pemeriksa kenderaan bermotor juga perlu menjalani program pentauliahan ditetapkan JPJ sebelum dibenarkan beroperasi.

“Carro juga perlu menyediakan lorong pemeriksaan khas serta kakitangan berasingan bagi tujuan pemeriksaan tukar hak milik selaras dengan standard ISO 17020:2012,” katanya.

Anthony berkata, kerajaan turut menggalakkan lebih banyak syarikat memohon lesen pusat pemeriksaan itu bagi memperluaskan perkhidmatan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, antara syarikat yang sedang membangunkan cawangan pusat pemeriksaan ialah Carsome Academy, Car Medic dan Beriman Go di Sarawak.

“Kita mahu lebih banyak kawasan mempunyai pusat pemeriksaan seperti ini supaya orang ramai mempunyai lebih banyak pilihan dan akses lebih mudah.

“Kita juga mengalu-alukan syarikat tempatan di Sabah dan Sarawak untuk memohon lesen serta membuka pusat pemeriksaan di negeri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan pusat pemeriksaan baharu itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperluaskan akses rakyat kepada perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang lebih cekap dan berkualiti selain membantu mengurangkan kesesakan sedia ada.

Katanya, pusat pemeriksaan mini tersebut hanya melaksanakan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan persendirian dan tidak melibatkan pemeriksaan kenderaan perdagangan seperti lori, bas dan teksi.

“Pengguna kini tidak lagi perlu bergantung kepada pusat pemeriksaan besar kerana konsep baharu itu membolehkan pusat pemeriksaan dibuka di kawasan komuniti serta pusat perniagaan.

“Pengguna hanya perlu membuat tempahan secara dalam talian sebelum datang ke pusat pemeriksaan seperti ini dan proses pemeriksaan boleh disiapkan dalam tempoh singkat,” katanya.

Anthony turut memaklumkan caj pemeriksaan bagi tukar hak milik kenderaan persendirian ditetapkan pada kadar RM37.80 termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sama seperti kadar dikenakan PUSPAKOM kerana ia dikawal oleh JPJ.

“MOT dan JPJ juga akan menjalankan audit mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengendali mematuhi piawaian serta prosedur ditetapkan.

“Kalau mereka tidak ikut piawaian, lesen boleh ditarik balik,” katanya.

+ - reset