Berita Berita
Harga maksimum tiket ke Sabah, Sarawak RM499 sempena Gawai, baki kerajaan tanggung - Anthony
KAJANG 26 Mei – Kerajaan menetapkan harga maksimum tiket penerbangan sebanyak RM499 bagi laluan ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga hari sebelum sambutan Hari Gawai susulan kenaikan mendadak tambang penerbangan yang dilaporkan mencecah sehingga RM1,200 bagi perjalanan sehala.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi subsidi kerajaan kepada syarikat penerbangan bagi mengurangkan beban rakyat ketika musim perayaan.
Menurut beliau, sambutan Hari Gawai tahun ini bertindih dengan musim perayaan lain sekali gus menyebabkan permintaan terhadap penerbangan meningkat secara mendadak.
“Memang ada laporan harga tiket penerbangan naik sehingga RM1,200 sehala kerana bertindih dengan musim perayaan. Sebab itu kerajaan menetapkan harga maksimum RM499 bagi penerbangan ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga hari sebelum Gawai,” katanya pada sidang media pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi MV15 oleh Carro Technology di cawangan TTDI Grove Square 2 di sini, hari ini.
Anthony Loke berkata, kawalan harga tersebut hanya melibatkan perjalanan pergi ke Sabah dan Sarawak memandangkan tempoh pulang penumpang berbeza dan tidak tertumpu dalam satu tempoh tertentu.
Katanya, subsidi berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan bukannya syarikat penerbangan.
“Sebagai contoh, jika harga sebenar tiket mencecah RM1,000 tetapi harga maksimum ditetapkan RM499, maka kerajaan perlu menanggung baki RM501 kepada syarikat penerbangan,” jelasnya.
Tambah beliau, peningkatan kos operasi termasuk harga bahan api jet turut memberi kesan kepada tambang penerbangan ketika musim puncak.
Justeru, katanya, kerajaan perlu menambah peruntukan subsidi bagi memastikan rakyat masih dapat menikmati tambang penerbangan pada kadar munasabah semasa musim perayaan.
Berita berkaitan
May 26, 2026, 1:30 pm
Aidiladha, cuti sekolah: Lebih 150,000 kenderaan dijangka banjiri Lebuh Raya WCE sehari
May 26, 2026, 1:09 pm
KL sasar jadi hab hiburan serantau, DBKL percepat kelulusan acara antarabangsa - Hannah
May 26, 2026, 11:19 am
