TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ejen hartanah tikam ibu tunggal pernah jalani rawatan sakit mental, hospital arah periksa semula

By
|
Kongsi
image

 

ALOR SETAR 26 Mei – Seorang ejen hartanah yang didakwa mempunyai masalah mental dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh rakan wanitanya dengan menikam leher mangsa menggunakan pisau rambo pada 17 Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Ilhami Badaruddin, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Peguam tertuduh, Mohd Hakim Hamran memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai masalah mental dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Susulan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani penilaian psikiatri.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Ilhami didakwa melakukan cubaan membunuh dengan menikam leher Nurul Husna Kasmani, 35, menggunakan pisau di kawasan parkir sebuah restoran di Titi Gajah, Kepala Batas pada jam 9.19 malam, 17 Mei lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim bersama Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern.

Mahkamah turut tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 35 tahun cedera di bahagian leher selepas dipercayai ditikam rakan lelakinya di dalam sebuah kereta di hadapan restoran di Titi Gajah, Kepala Batas pada jam 9.19 malam.

Suspek yang melarikan diri bagaimanapun berjaya diberkas polis kira-kira empat jam selepas kejadian, manakala pisau rambo dipercayai digunakan dalam serangan itu ditemui keesokan harinya di kawasan sawah berhampiran lokasi kejadian.

+ - reset