Berita Berita
KL sasar jadi hab hiburan serantau, DBKL percepat kelulusan acara antarabangsa - Hannah
KUALA LUMPUR 26 Mei – Kerajaan komited menjadikan ibu negara sebagai pemain utama dalam industri hiburan serantau menerusi usaha mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepat proses kelulusan bagi penganjuran acara antarabangsa.
Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata, beliau telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya memudah cara serta mempercepat proses permohonan bagi memastikan Kuala Lumpur terus kekal sebagai destinasi pilihan pemain industri global.
“Masa itu wang, kelajuan adalah mata wang. Dan inilah cara saya mahu memacu DBKL ke hadapan dalam memudah cara kelulusan apabila mereka berurusan dengan permohonan.
"Kita tidak boleh hanya duduk dan menunggu perkara berlaku, sebaliknya kita perlu memudah cara dan menggerakkan proses tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran KL Headline Season 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin.
Hannah turut menekankan impak ekonomi besar yang dibawa oleh acara langsung dengan merujuk kepada Festival Air yang baru-baru ini diadakan di Kuala Lumpur dan berjaya menjana RM320 juta kepada ekonomi negara dalam tempoh satu hujung minggu.
“Pulangan kepada ekonomi Malaysia datang daripada pelawat antarabangsa, kira-kira 100,000 orang bagi Festival Air, yang membelanjakan sekitar RM255 juta hanya pada hujung minggu tersebut.
"Bagi pengunjung tempatan pula, 150,000 orang membelanjakan kira-kira RM64 juta,” katanya.
Dalam usaha terus mengurangkan halangan kepada penganjur, beliau berkata, kerajaan turut mengurangkan serta menurunkan kadar deposit bagi persembahan tempatan, konsert serta persembahan pentas dan kebudayaan.
“Kami benar-benar mahu menghapuskan segala kerenah birokrasi dan saya akan memantau perkara ini bersama-sama DBKL, selain meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur meneliti prosedur operasi standard (SOP) serta proses yang terlibat,” katanya.
Berita berkaitan
May 26, 2026, 1:46 pm
Empat hari hilang, Nur Izzati Humaira ditemukan meninggal dunia tengah hari ini
May 26, 2026, 1:30 pm
Aidiladha, cuti sekolah: Lebih 150,000 kenderaan dijangka banjiri Lebuh Raya WCE sehari
May 26, 2026, 12:25 pm
