Berita Berita
SAR Nur Izzati Humaira: Operasi hari keempat diperluas 0.57 kilometer persegi, khidmat STORM dan anjing pengesan dikerahkan
HULU SELANGOR 26 Mei – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang remaja perempuan, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Changkat Asa di sini, kini memasuki hari keempat dengan skop pencarian yang semakin diperluaskan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Azliza Ahmad memaklumkan bahawa fasa pencarian yang bermula jam 8 pagi tadi itu kini meliputi kawasan seluas 0.57 kilometer persegi, dengan tumpuan utama diberikan pada jajaran laluan sepanjang kira-kira 800 meter di kawasan bukit berkenaan.
Pasukan penyelamat turut memperincikan radius pencarian sejauh 50 meter ke bahagian kiri dan kanan laluan menuju ke puncak bukit, selain menjalankan kaedah flushing atau pencarian semula secara menyeluruh di zon semalam bagi memastikan tiada kawasan yang terlepas pandang.
Sebanyak 40 keanggotaan fizikal daripada pelbagai agensi keselamatan telah digerakkan bagi menjayakan misi hari ini, termasuk kekuatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor, serta Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor.
Operasi kritikal ini turut diperkuatkan dengan penyertaan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, serta sokongan teknologi dron milik Unit Pengurusan Bencana Kerajaan Negeri Selangor dan khidmat dua ekor anjing pengesan (K9) milik pihak bomba.
Walau bagaimanapun, sehingga kini pasukan SAR dilaporkan masih belum menemui sebarang petunjuk fizikal yang baharu mengenai keberadaan remaja berkenaan.
Berdasarkan kronologi kejadian, Nur Izzati Humaira dipercayai tersesat pada jam 10.50 pagi Sabtu lalu selepas mengambil keputusan untuk berjalan bersendirian menuruni bukit terlebih dahulu ekoran faktor cuaca panas dan keletihan.
Mangsa kali terakhir dilihat memakai tudung labuh berwarna coklat, baju lengan panjang hijau gelap, seluar panjang hitam, serta kasut sukan berwarna biru.
Tinjauan di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mendapati beberapa ahli keluarga mangsa turut berada di lokasi bagi mengikuti perkembangan rapat misi menyelamat tersebut, di samping mengadakan majlis bacaan surah Yasin bagi memohon dipermudahkan urusan pencarian.
Berita berkaitan
May 26, 2026, 1:46 pm
Empat hari hilang, Nur Izzati Humaira ditemukan meninggal dunia tengah hari ini
May 26, 2026, 1:30 pm
Aidiladha, cuti sekolah: Lebih 150,000 kenderaan dijangka banjiri Lebuh Raya WCE sehari
May 26, 2026, 1:09 pm
KL sasar jadi hab hiburan serantau, DBKL percepat kelulusan acara antarabangsa - Hannah
May 26, 2026, 12:25 pm
