Berita Berita
'Kehadiran JPJ di ‘hot spot’ bukan untuk saman, tetapi mahu rakyat lebih berhati-hati' - Anthony
KAJANG 26 Mei – Kehadiran anggota penguat kuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di kawasan panas atau ‘hot spot’ sempena Ops Khas Hari Raya Aidiladha bukan bertujuan mengeluarkan saman, sebaliknya bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendekatan menempatkan anggota penguat kuasa di lokasi berisiko tinggi terbukti berkesan dalam mengurangkan kadar kemalangan setiap kali musim perayaan.
Menurut beliau, persepsi masyarakat bahawa kehadiran JPJ hanya untuk menyaman adalah tidak tepat kerana tujuan utama operasi tersebut adalah untuk memberi kesan psikologi kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu.
“Setiap kali musim raya, ops bersepadu ini dapat kurangkan kemalangan. Apa yang kita buat selama ini ialah melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk meletakkan anggota penguat kuasa di hot spot.
“Persepsi orang ramai, bila ada JPJ mereka takut disaman. Tujuan kita bukan nak denda atau saman, tetapi mahu mereka lebih berhati-hati. Ini memberi kesan psikologi supaya mereka lebih berwaspada dan sekali gus dapat mengurangkan kemalangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Carro Technology Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi Pemeriksaan Tukar Hak Milik Persendirian (MV15) di TTDI Grove Square 2 di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anthony Loke berkata, kira-kira 2,000 anggota JPJ digerakkan di seluruh negara bagi menjayakan operasi bersepadu itu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengulas mengenai pemantauan terhadap bas ekspres, beliau berkata, pemeriksaan turut dijalankan di terminal sebelum bas memulakan perjalanan melibatkan semakan terhadap pemandu, cukai jalan, insurans, permit serta Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
Katanya, operasi dan pemeriksaan dilakukan secara berterusan termasuk saringan ujian dadah terhadap pemandu bas bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.
“Kita beri tanggungjawab kepada syarikat dan jika mereka gagal berbuat demikian, tindakan boleh dikenakan.
“JPJ tidak dapat memeriksa semua pemandu setiap masa kerana pemeriksaan hanya dibuat secara berkala di terminal, namun syarikat mempunyai tanggungjawab memastikan pemandu berada dalam keadaan baik,” katanya.
Berita berkaitan
May 26, 2026, 1:46 pm
Empat hari hilang, Nur Izzati Humaira ditemukan meninggal dunia tengah hari ini
May 26, 2026, 1:30 pm
Aidiladha, cuti sekolah: Lebih 150,000 kenderaan dijangka banjiri Lebuh Raya WCE sehari
May 26, 2026, 1:09 pm
KL sasar jadi hab hiburan serantau, DBKL percepat kelulusan acara antarabangsa - Hannah
May 26, 2026, 12:25 pm
