TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Kerajaan umum semua pelajar cemerlang akan dapat tempat' - ADUN Kota Kemuning minta penjelasan KPT mengapa pelajar 11A gagal ke matrikulasi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 28 Mei – Kegagalan seorang pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapat tempat dalam program matrikulasi menimbulkan persoalan terhadap pelaksanaan dasar pengambilan pelajar yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, situasi itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi jaminan bahawa pelajar yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas akan ditawarkan tempat dalam program matrikulasi.

Menurut beliau, kejadian tersebut turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar berhubung mekanisme saringan yang digunakan dalam proses pemilihan.

“Kalau pelajar 11A pun tidak terpilih ke matrikulasi, sudah tentu ramai akan tertanya-tanya di mana silapnya.

“Kerajaan sebelum ini sudah umum secara jelas mengenai jaminan kepada pelajar cemerlang, jadi kementerian perlu beri penjelasan supaya perkara ini tidak terus menimbulkan persoalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan tular satu video dimuat naik seorang pengguna TikTok yang mendakwa anaknya gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi walaupun memperoleh keputusan 11A.

Sebaliknya, pelajar berkenaan dilaporkan hanya menerima tawaran melanjutkan pengajian ke politeknik.

Mengulas lanjut, Preakas berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu menyemak semula kes terbabit dan memastikan tiada keciciran berlaku dalam sistem pengambilan pelajar.

Menurutnya, keadaan sedemikian boleh menjejaskan motivasi serta semangat pelajar yang telah berusaha keras untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Kita tidak mahu anak-anak yang sudah berusaha bersungguh-sungguh rasa kecewa dan hilang keyakinan terhadap sistem pendidikan negara.

“Isu seperti ini perlu ditangani segera supaya keyakinan rakyat terhadap sistem pengambilan pelajar dapat dipertahankan,” tegasnya.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan memberi jaminan bahawa semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam SPM akan diberikan peluang melanjutkan pengajian ke program matrikulasi. 

+ - reset