Berita Berita
Najis, darah korban dibuang ke longkang, komuniti Rohingya adakan korban belakang lorong kedai cetus kemarahan penduduk di Selayang
SELAYANG 28 Mei – Aktiviti penyembelihan puluhan lembu korban oleh komuniti Rohingya di belakang deretan premis perniagaan di Jalan Besar Selayang Baru, di sini, hari ini mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk tempatan apabila najis dan darah haiwan didakwa dibuang ke longkang.
Menurut laporan Harian Metro, tinjauan di lokasi mendapati kira-kira 60 ekor lembu termasuk baka sado disembelih di kawasan pasar berkenaan yang dipenuhi ratusan warga asing sejak malam tadi bagi melakukan persiapan ibadah korban.
Keadaan itu menimbulkan persoalan penduduk berhubung tahap kebersihan serta status permit penyembelihan dan kelulusan lokasi daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Penduduk mendakwa aktiviti korban berskala besar di kawasan pasar berkenaan sudah berlangsung lebih sedekad, namun tahun ini menimbulkan rasa kurang senang apabila sisa sembelihan dilihat dibuang terus ke longkang.
Amin Abdul Malek, 46, berkata suasana di kawasan belakang premis perniagaan itu sejak malam tadi bagaikan pesta apabila ratusan warga asing mula menghias dan menempatkan lembu korban di lokasi berkenaan.
“Malam tadi lagi mereka sudah sibuk buat persiapan dekat lorong belakang ini. Saya turun tengok memang meriah macam pesta.
“Lembu yang dibawa pun bukan biasa-biasa. Ada yang saya dengar harga sampai RM20,000 seekor, malah ada juga yang lebih mahal,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Menurutnya, majoriti komuniti Rohingya di kawasan itu terdiri daripada peniaga pasar dan aktiviti korban sedemikian dilakukan setiap tahun.
“Tahun ini saya dengar ada sekitar 60 ekor lembu disembelih. Tapi kalau dibandingkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dulu lagi banyak sampai berderet-deret depan kedai,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Din, 64, berkata aktiviti korban di kawasan pasar Selayang Baru bukan perkara baharu kerana sudah berlangsung lebih 10 tahun.
“Memang sini tempat mereka buat korban sebab komuniti mereka ramai berniaga dekat pasar ini.
“Tapi kalau ikut undang-undang, perkara macam ini kena ada kelulusan juga daripada pihak berkuasa. Orang tempatan pun tertanya-tanya ada permit atau tidak,” katanya.
Beliau turut mendakwa terdapat lembu dan kambing korban ditempatkan di dalam premis kedai dipercayai bagi mengelakkan perhatian pihak berkuasa.
Sementara itu, ahli jawatankuasa program dikenali sebagai Sham, 35, mengakui kira-kira 60 ekor lembu disembelih di kawasan berkenaan, tidak termasuk 15 ekor lagi di Desa Bakti.
Katanya, majoriti peserta korban adalah komuniti Rohingya yang menetap dan berniaga di sekitar Selayang Baru.
“Semua yang buat korban ini kebanyakannya peniaga dekat pasar sini. Program mula selepas solat Aidiladha pagi tadi.
“Kami sebagai AJK memang sudah pesan supaya jangan buang sisa dalam longkang, tapi bila ramai sangat memang susah nak kawal,” katanya.
Berita berkaitan
May 28, 2026, 10:26 pm
LRT tergelincir, Anthony Loke arah hukuman paling maksimum terhadap Prasarana termasuk pecat
May 28, 2026, 6:58 pm
Lelaki maut ditanduk kerbau ketika ibadah korban di Ulu Tiram
May 28, 2026, 4:46 pm
Amaran cuaca: Ribut petir, hujan lebat di lapan negeri, KL sehingga 6 petang ini
May 28, 2026, 4:31 pm
Pelajar perempuan 13 tahun lebam dipukul 5 rakan kumpulan WhatsApp 'Angel'
May 28, 2026, 4:01 pm
Hanya khabar angin, Rafizi nafi Nurul Izzah akan sertai parti BERSAMA
May 28, 2026, 12:29 pm
