Berita Berita
LRT tergelincir, Anthony Loke arah hukuman paling maksimum terhadap Prasarana termasuk pecat
KUALA LUMPUR 28 Mei – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengenakan “hukuman paling maksimum” terhadap Prasarana Malaysia Berhad susulan insiden sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir pagi tadi.
Anthony berkata, kementeriannya mengambil pendirian tegas terhadap kejadian itu dan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan orang ramai.
Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan (MOT) turut menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat secara menyeluruh punca kejadian tersebut.
“Saya ingin menegaskan bahawa Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap ‘business-as-usual’. Kejadian sebegini perlu dipandang serius, dan tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden ini.
“Tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil oleh pihak Lembaga Pengarah Prasarana terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam tanggungjawab mereka untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian Prasarana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga mengarahkan dapatan siasatan dikemukakan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin selain laporan tersebut perlu diumumkan kepada umum.
“Saya juga mengarahkan APAD untuk mengambil tindakan hukuman yang paling maksimum terhadap Prasarana Malaysia Bhd berhubung insiden ini,” katanya sambil memaklumkan APAD telah membuka kertas siasatan serta-merta.
Terdahulu, Rapid KL mengesahkan sebuah tren tergelincir ketika melalui kawasan pertukaran landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan di Laluan Ampang-Sri Petaling.
Bagaimanapun, kesemua 25 penumpang dalam tren terbabit berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
Susulan kejadian itu, perkhidmatan tren alternatif serta bas ulang-alik percuma diaktifkan di semua stesen terjejas bagi memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar sementara kerja pemulihan dijalankan.
Berita berkaitan
May 28, 2026, 6:58 pm
Lelaki maut ditanduk kerbau ketika ibadah korban di Ulu Tiram
May 28, 2026, 4:46 pm
Amaran cuaca: Ribut petir, hujan lebat di lapan negeri, KL sehingga 6 petang ini
May 28, 2026, 4:31 pm
Pelajar perempuan 13 tahun lebam dipukul 5 rakan kumpulan WhatsApp 'Angel'
May 28, 2026, 4:01 pm
Hanya khabar angin, Rafizi nafi Nurul Izzah akan sertai parti BERSAMA
May 28, 2026, 12:29 pm
