TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki maut ditanduk kerbau ketika ibadah korban di Ulu Tiram

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 28 Mei – Seorang lelaki maut selepas ditanduk seekor kerbau ketika melaksanakan ibadah korban dalam kejadian di Kampung Tenang, Ulu Tiram, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa warga tempatan berusia 45 tahun dilaporkan cedera selepas ditanduk haiwan berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan saluran darah (vaskular) pada kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan pada hari sama, seorang lagi lelaki berusia 45 tahun cedera selepas ditanduk kerbau di kawasan Batu 19, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram.

Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu menyebabkan mangsa mengalami patah tulang rusuk kiri selepas kerbau berkenaan tiba-tiba bertindak liar dan menyerangnya.

“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemakluman mengenai kejadian itu turut disalurkan kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan susulan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes ini,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 41 saat yang memaparkan insiden serangan kerbau sehingga mencederakan mangsa berkenaan tular di media sosial dan mendapat perhatian warganet.

+ - reset