TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Fahmi nafi sesi bergambar rasmi Jemaah Menteri petanda pembubaran Parlimen tak lama lagi

By
|
Kongsi
image

 

 

PUTRAJAYA 5 Jun – Kerajaan menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa sesi bergambar rasmi Jemaah Menteri yang diadakan pada Jumaat merupakan petanda kepada pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sesi fotografi tersebut diadakan susulan pelantikan beberapa anggota baharu Jemaah Menteri selepas rombakan Kabinet yang dilaksanakan pada Disember lalu.

Menurut beliau, sehingga kini belum ada kesempatan untuk mengadakan sesi bergambar rasmi melibatkan keseluruhan anggota Kabinet dalam susunan baharu tersebut.

"Perdana Menteri ada memaklumkan bahawa memang ada hasrat untuk mengambil gambar rasmi Jemaah Menteri kerana terdapat anggota baharu yang dilantik selepas rombakan Kabinet sebelum ini.

"Sebelum ini juga pernah diadakan sesi bergambar rasmi dengan konfigurasi Jemaah Menteri yang terdahulu, jadi perkara ini adalah amalan biasa dan tidak mempunyai kaitan dengan pembubaran Parlimen," katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas spekulasi yang timbul susulan penularan gambar Perdana Menteri bersama anggota Jemaah Menteri di media sosial.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata sesi berkenaan turut mengambil kesempatan daripada kehadiran anggota Kabinet ke Putrajaya sempena Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, semua anggota Jemaah Menteri hadir dengan mengenakan pakaian istiadat rasmi, sekali gus menjadikan hari tersebut sesuai untuk merakamkan gambar rasmi Kabinet.

"Jabatan Perdana Menteri berpendapat hari ini adalah masa yang sesuai untuk mengambil gambar rasmi tersebut kerana semua anggota Jemaah Menteri hadir dengan pakaian nombor satu.

"Jadi tidak timbul sebarang isu atau petanda kepada pembubaran Parlimen. Ia sekadar satu urusan rasmi yang lazim dilakukan," katanya.

Sejak kebelakangan ini, pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal mula diperkatakan susulan perkembangan politik semasa termasuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, penjelasan kerajaan itu menafikan sebarang kaitan antara sesi bergambar rasmi Kabinet dengan kemungkinan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

+ - reset