TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar lancar jentera PH Johor esok, tanda mula gerak kerja PRN

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 5 Jun – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam satu majlis yang akan berlangsung di Kim’s Park Business Centre, Batu Pahat malam esok.

Majlis pelancaran yang dijadual bermula pada pukul 8 malam itu dilihat sebagai isyarat rasmi bermulanya gerak kerja pilihan raya PH bagi menghadapi PRN Johor yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Selain Anwar, majlis tersebut turut dijangka dihadiri Timbalan Pengerusi PH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu Pahat menerusi satu hantaran di Facebook hari ini mengajak rakyat Johor hadir bagi menunjukkan sokongan terhadap pelancaran jentera pilihan raya gabungan itu.

“Orang Johor sudah bersedia! Johor tidak takut berdepan pilihan raya. Johor tidak akan berdiam diri apabila masa depan negeri dipertaruhkan. Johor sudah bersedia untuk menentukan hala tuju negeri ini.

“Penuhkan dewan. Gegarkan Batu Pahat. Hantar mesej bahawa Orang Johor sudah bersedia,” menurut hantaran tersebut.

PRN Johor bakal diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN berkenaan selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri dan undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari dari tarikh pembubaran DUN untuk mengadakan pilihan raya negeri.

Pelancaran jentera PH itu dijangka menjadi pentas untuk pimpinan gabungan berkenaan menyampaikan mesej awal kepada pengundi selain memperkukuh persiapan menghadapi persaingan yang dijangka sengit dalam PRN Johor kali ini.

+ - reset