TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar arah tindakan tegas terhadap warga asing salah guna lesen perniagaan

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 5 Ogos – Kerajaan mengarahkan tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan kegiatan perniagaan, termasuk kes melibatkan dakwaan pengambilalihan perniagaan tempatan oleh warga asing.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan tersebut disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selepas kerajaan menerima pelbagai aduan berhubung isu berkenaan.

Menurut beliau, tindakan tegas bukan sahaja akan dikenakan terhadap warga asing yang melanggar peraturan, malah turut melibatkan rakyat tempatan yang didapati menyalahgunakan lesen atau kemudahan perniagaan yang diberikan.

"Perdana Menteri turut membangkitkan isu aduan berkaitan dakwaan pengambilalihan aktiviti perniagaan tempatan oleh warga asing.

"Beliau mengarahkan tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang serta menyalahgunakan lesen, visa atau kemudahan perniagaan yang diperuntukkan, termasuk kepada warganegara Malaysia," katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai petisyen dalam talian yang menggesa pelarian Rohingya diusir keluar dari negara ini, Fahmi menjelaskan bahawa Perdana Menteri tidak merujuk kepada mana-mana kumpulan tertentu ketika membangkitkan isu tersebut.

Sebaliknya, katanya, Anwar hanya merujuk kepada aduan yang diterima kerajaan berhubung fenomena penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan tempatan.

"Perdana Menteri tidak menyebut mana-mana kumpulan secara khusus, sebaliknya merujuk kepada aduan berkaitan fenomena itu.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk bertindak mengikut undang-undang dan kita mengingatkan semua peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan, khususnya mereka yang mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti perniagaan," katanya.

Isu tersebut kembali menjadi perhatian selepas beberapa pertubuhan masyarakat menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan pembabitan warga asing dalam sektor perniagaan di negara ini.

Baru-baru ini, Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang mendakwa terdapat peningkatan kehadiran pelarian Rohingya di beberapa kawasan yang menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.

Pengerusinya, Sophian Mohd Zain dilaporkan berkata, kebimbangan itu timbul berikutan ketiadaan penyelesaian jangka panjang yang jelas terhadap isu pelarian, selain persoalan mengenai kemampuan segelintir daripada mereka menjalankan perniagaan dan mengumpul sumber kewangan walaupun berstatus pelarian.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan bahawa sebarang tindakan akan dilaksanakan berdasarkan undang-undang dan hasil siasatan pihak berkuasa, tanpa menyasarkan mana-mana kumpulan tertentu secara khusus.

+ - reset