Berita Berita
Kes malaria meningkat di Terengganu: KKM laksana saringan bersasar terhadap warga asing
MELAKA 5 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertingkatkan langkah kawalan keselamatan kesihatan termasuk melaksanakan saringan bersasar terhadap warga asing susulan pengesanan 17 kes baharu wabak malaria di Terengganu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan tindakan drastik itu diambil memandangkan hampir keseluruhan kes penularan yang direkodkan di negeri tersebut dikesan mempunyai kaitan rapat dengan golongan terbabit.
Menurut beliau, selain saringan bersasar, proses rawatan klinikal dan pengurusan kesemua pesakit kini dikendalikan sepenuhnya oleh pihak KKM bagi memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan dengan segera menerusi kerjasama pelbagai agensi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis penutupan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia peringkat KKM yang berlangsung di AEON Bandaraya Melaka, di sini hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerusi Sektor Kawalan Penyakit Bawaan Vektor telah mengeluarkan amaran tahap tinggi selepas merekodkan 17 kes malaria, di mana 10 daripadanya disahkan sebagai jangkitan jenis Plasmodium vivax dalam kalangan warga Rohingya kategori import. Kes terbaharu dilaporkan dikesan di daerah Dungun dan Kuala Nerus.
Hasil siasatan awal mendapati kesemua individu terbabit dipercayai memasuki negara ini secara tidak sah (pendatang asing tanpa izin), sekali gus menyukarkan pihak berkuasa kesihatan untuk mendapatkan maklumat tepat mengenai sejarah pergerakan mereka.
Mengulas lanjut perincian data tersebut, Dr Dzulkefly menjelaskan daripada keseluruhan kes yang dilaporkan, sebanyak 14 kes merupakan jangkitan sesama manusia (antropenik), manakala baki tiga kes lagi dikesan berpunca daripada sumber zoonotik (jangkitan daripada haiwan).
Susulan perkembangan itu, KKM bersama jabatan kesihatan negeri kini sedang giat menggerakkan operasi pengesanan kes secara aktif (ACD), pengawasan ketat di lapangan, serta memperkukuh mekanisme amaran awal antara agensi bagi membendung penularan re-emergence wabak tersebut.
Berita berkaitan
July 27, 2026, 1:23 pm
Guan Eng jumpa Anwar cadang satu peperiksaan kemasukan universiti awam untuk semua pelajar
July 27, 2026, 12:07 pm
Rakyat Malaysia maut ditikam akibat perselisihan 2 kumpulan di Korea
July 27, 2026, 11:25 am
Operasi PATI diperhebat walau depot sesak
July 27, 2026, 11:11 am
F1 GP Bahrain di Sepang beri limpahan ekonomi jangka panjang - Ahmad Zahid
July 27, 2026, 11:07 am
Legasi 35 tahun Ayob Khan terus jadi inspirasi warga PDRM
July 27, 2026, 10:18 am
'Ini IC saya Sanusi! Saya bukan pendatang!' - Nga Kor Ming
July 27, 2026, 9:48 am
PAS dakwa laporan portal berita cetus kontroversi ucapan Sanusi
July 27, 2026, 9:41 am
Dua remaja perempuan maut, kereta hilang kawalan ketika memotong di Teluk Intan
July 27, 2026, 9:27 am
