Berita Berita
Steven Sim sanjung Tok Ayah Rosli Othman sebagai murabbi masyarakat
BUKIT MERTAJAM 5 Jun - Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menzahirkan penghargaan terhadap tokoh ulama Pulau Pinang, Datuk Rosli Othman atau lebih dikenali sebagai Tok Ayah selepas berpeluang menziarahinya sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Steven menyifatkan Rosli sebagai seorang ulama yang dihormati pelbagai lapisan masyarakat dan menjadi rujukan bukan sahaja dalam hal ehwal agama, malah berkaitan sosial serta kebajikan.
Menurut beliau, Tok Ayah memiliki latar belakang keilmuan yang luas termasuk kepakaran dalam empat mazhab selain penguasaan bahasa Arab yang tinggi.
Steven berkata, Rosli yang juga bekas Ahli Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang pernah memainkan pelbagai peranan penting dalam pembangunan ilmu dan pendidikan agama di negeri itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa Tok Ayah pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), menghasilkan lebih 25 buku agama berbentuk terjemahan serta menjadi panel tauliah yang menilai guru-guru agama.
“Yang paling saya rasa terkesan, Tok Ayah ini seorang murabbi yang rendah hati, mesra dengan semua lapisan masyarakat. Orang kampung, orang bandar, anak muda, orang tua, orang politik tanpa kira parti, semua boleh duduk sekali dengan beliau.
“Beliau bukan saja jadi rujukan dalam hal agama, tapi juga sosial dan kebajikan. Kehadiran Tok Ayah ni macam cahaya yang bimbing masyarakat ke arah hidup lebih beradab dan berilmu,” katanya.
Menurut Steven, keperibadian Rosli yang sederhana dan mudah didekati menjadikan beliau dihormati masyarakat tanpa mengira latar belakang mahupun fahaman politik.
Dalam kunjungan tersebut, Steven turut menerima hadiah sebuah kitab alih aksara bahasa Melayu bertajuk Syarah Bagi Matan Jawharah al-Tauhid daripada Tok Ayah sebagai kenang-kenangan.
Beliau merakamkan penghargaan atas kesudian Rosli menerima kunjungannya dan mendoakan agar tokoh agama itu terus dikurniakan kesihatan yang baik untuk meneruskan usaha menyebarkan ilmu serta membimbing masyarakat.
Kunjungan berkenaan turut mencerminkan penghormatan terhadap peranan ulama sebagai pemangkin perpaduan dan pembentukan masyarakat yang berilmu, berakhlak serta saling menghormati antara satu sama lain.
Berita berkaitan
June 5, 2026, 8:34 pm
Kes malaria meningkat di Terengganu: KKM laksana saringan bersasar terhadap warga asing
June 5, 2026, 8:27 pm
Sekatan akses MyKhas Ahli Parlimen bersebab, permohonan rakyat tetap diproses
June 5, 2026, 8:22 pm
Lelaki Myanmar dakwa miliki MyKad, JPN buat laporan polis
June 5, 2026, 7:34 pm
Tiada rundingan rasmi UMNO-PAS, Ahmad Zahid sahkan hanya pertemuan wakil parti
June 5, 2026, 6:54 pm
Anwar arah tindakan tegas terhadap warga asing salah guna lesen perniagaan
June 5, 2026, 6:36 pm
Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12
June 5, 2026, 6:13 pm
Anwar lancar jentera PH Johor esok, tanda mula gerak kerja PRN
June 5, 2026, 5:44 pm
