TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan sasar lahirkan 'Prompt Engineer' di setiap 1,098 pusat NADI seluruh negara

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

PUTRAJAYA 8 Jun — Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengumumkan hasrat untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang 'Prompt Engineer' di setiap 1,098 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi memperkasakan penguasaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan rakyat, khususnya golongan muda.

Menurut beliau, kementerian kini turut giat melaksanakan program literasi AI di 1,098 di NADI seluruh negara, dengan kerjasama pihak seperti Google, Microsoft, dan YTL, bagi membangunkan kepakaran anak muda tempatan.

“Kita akan berusaha mewujudkan seorang Prompt Engineer di setiap NADI. Mereka bukan sekadar tahu menggunakan AI seperti Gemini atau Copilot, tetapi mampu membangunkan aplikasi dan penyelesaian digital yang memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Komunikasi sempena Perhimpunan Bulanan kementerian itu hari ini.

Fahmi berkata, usaha tersebut mampu membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak muda tanpa perlu berhijrah ke pusat bandar untuk mencari rezeki.

“Bayangkan aplikasi baharu boleh dibangunkan dari Pulau Banggi, Felda atau mana-mana kawasan luar bandar. 

"Dengan internet yang pantas dan kemahiran AI yang baik, mereka boleh membina masa depan di kampung sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan bahawa rakyat Malaysia bakal menikmati siaran langsung percuma kejohanan FIFA World Cup 2026 buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun menerusi saluran rasmi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau berkata, orang ramai boleh mengikuti perlawanan tersebut melalui platform RTM termasuk aplikasi MyGov Malaysia yang menghubungkan pengguna kepada saluran TV1.

Pada masa sama, Fahmi menggesa semua agensi di bawah Kementerian Komunikasi mempergiat program turun padang dengan membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan, kempen Internet Selamat, tayangan wayang pacak dan program komuniti terus kepada rakyat.

“Perkhidmatan NADI tidak seharusnya dinikmati oleh mereka yang tinggal dalam lingkungan tertentu. Kita perlu membawa NADI keluar kepada masyarakat supaya lebih ramai mendapat manfaat,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen kementerian untuk mempercepat usaha meningkatkan kelajuan internet, memperkukuh keselamatan digital serta melaksanakan beberapa pindaan undang-undang berkaitan sektor komunikasi yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, pegawai kanan kerajaan serta warga Kementerian Komunikasi.

+ - reset