TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mara heret peminjam culas ke mahkamah demi bantu lebih ramai pelajar miskin, usahawan

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 8 Jun – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengambil tindakan yang jauh lebih tegas termasuk mengheret mana-mana peminjam yang culas membayar balik hutang perniagaan mahupun pendidikan agensi itu ke muka pengadilan.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa langkah drastik tersebut terpaksa diambil bagi memastikan kelangsungan dana bantuan dapat terus disalurkan kepada golongan memerlukan yang lain pada masa hadapan.

Melalui satu hantaran di aplikasi Threads hari ini, beliau menepis dakwaan sesetengah pihak yang menuduh beliau dan Mara mengetepikan perjuangan Melayu serta tidak berhati perut berikutan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap peminjam yang ingkar.

Beliau menjelaskan tindakan tegas itu diambil demi kepentingan agenda memperkasakan masyarakat Melayu dan Bumiputera, di mana kutipan semula dana sebanyak RM500,000 daripada seorang peminjam tegar mampu menampung kos pengajian antara 15 hingga 20 orang pelajar miskin dalam bidang TVET di Institusi Pendidikan Mara.

Asyraf Wajdi turut mengingatkan para peminjam mengenai tuntutan agama Islam yang meletakkan asas penting bahawa setiap hutang yang telah dibuat adalah wajib untuk dilunaskan.

Kenyataan tegas itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi Sungai Petani, Kedah pada 4 Jun lalu menolak permohonan rayuan seorang wanita bersama tiga penjaminnya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membayar balik tunggakan pinjaman pendidikan Mara berjumlah RM857,000.

+ - reset