TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua beradik jatuh pangsapuri di Tampoi, saksi dakwa dengar dua dentuman kuat

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 8 Jun – Seorang wanita yang berada di kawasan kolam renang sebuah pangsapuri di Tampoi di sini mendakwa masih trauma selepas menyaksikan kejadian dua kanak-kanak terjatuh dari bangunan berkenaan dalam insiden menyayat hati pada pagi Ahad.

Wanita dikenali sebagai Irainany itu berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 8 pagi, dia bersama suami, bayi mereka dan seorang pekerja pembersihan berada di kawasan kolam renang di tingkat tujuh.

Menurutnya, suasana ketika itu sunyi sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat yang disangkakan objek terjatuh.

“Kami baru membuka paip di tepi kolam untuk membasahkan badan sebelum mandi apabila terdengar bunyi kuat seakan-akan ada sesuatu terjatuh.

“Sebaik melihat ke arah bunyi itu, kami nampak seorang kanak-kanak perempuan terjatuh. Saya tidak dapat melupakan detik cemas tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Beliau berkata, suaminya segera menyerahkan bayi mereka kepadanya sebelum bergegas ke lokasi mangsa ditemukan.

Menurutnya, beberapa penduduk kemudian turut berkumpul di kawasan berkenaan untuk membantu.

“Ketika itu kami semua buntu melihat keadaan mangsa. Beberapa minit kemudian, sekali lagi kami terdengar bunyi kuat sebelum nampak seorang kanak-kanak lelaki pula terjatuh,” katanya.

Tambahnya, suaminya kemudian menghubungi ambulans sambil meminta bantuan penduduk lain.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang tinggal di tingkat 13 pangsapuri berkenaan memaklumkan menerusi ruangan komen media sosial bahawa mangsa dikenali sebagai Irfan dan adiknya, Puteri.

Menurutnya, ibu kepada kedua-dua kanak-kanak itu tiba di lokasi beberapa minit selepas kejadian dan berada dalam keadaan amat sedih.

“Saya sempat memeluk ibu mereka untuk menenangkan keadaannya,” katanya.

Difahamkan, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala abangnya yang berusia 10 tahun kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan dan kenyataan lanjut akan dikeluarkan selepas proses siasatan selesai.

+ - reset