TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Zambry pertahan Onn Hafiz, tegas pendirian terhadap DAP bukan bersifat perkauman

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Jun – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abd Kadir mempertahankan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi susulan kritikan terhadap kenyataannya yang menolak kerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Zambry, pendirian yang disuarakan Onn Hafiz tidak wajar ditafsirkan sebagai bersifat chauvinis atau perkauman kerana beliau telah membuktikan komitmennya berkhidmat untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

“Isu ini bukan soal angkuh atau enggan berhubung dengan pihak yang berbeza pandangan politik. Sepanjang menerajui Johor, Onn Hafiz telah membuktikan bahawa beliau berkhidmat untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun kecenderungan politik.

“Pendirian beliau lahir daripada perbezaan prinsip dan pertimbangan politik, bukannya sentimen perkauman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap kenyataan Onn Hafiz yang sebelum ini menegaskan beliau tidak sanggup menjadi Menteri Besar sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP selepas pilihan raya negeri.

Zambry berkata, pendirian tersebut perlu dilihat dalam konteks politik Johor memandangkan negeri itu ditadbir Barisan Nasional sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Harus diingat bahawa Johor pada penggal lalu ditadbir oleh Barisan Nasional sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan. Oleh itu, pendirian politik yang dinyatakan beliau perlu dilihat dalam konteks landskap politik negeri dan mandat yang diperjuangkan oleh BN Johor,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata UMNO dan BN juga sering menjadi sasaran kritikan serta kecaman daripada pihak lawan, namun tidak menjadikannya sebagai isu yang perlu diperbesarkan.

Menurutnya, perkara yang lebih utama ialah memastikan kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat terus menjadi fokus semua pihak.

“Dalam aspek ini, Datuk Onn Hafiz terus melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.

Zambry turut menggesa semua pihak menghentikan polemik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi PRN.

Katanya, parti-parti politik seharusnya menawarkan idea, dasar dan penyelesaian terbaik kepada rakyat serta memperkukuh agenda pembangunan negeri.

“Akhirnya, rakyat akan menilai berdasarkan prestasi, rekod perkhidmatan dan keupayaan memimpin, bukannya retorik yang memecah-belahkan,” katanya.

+ - reset