TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga lokasi di Selayang diserbu, 52 warga asing termasuk tiga kanak-kanak ditahan

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

SELAYANG 15 Jun – Seramai 52 warga asing termasuk tiga kanak-kanak ditahan menerusi tiga operasi berasingan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di sekitar Selayang, malam tadi.

Pemeriksaan berkenaan dijalankan menerusi tiga operasi serentak iaitu Ops Kutip, Ops Selera dan Ops Sapu yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Mohd Asrul Hazdlyzan Zakaria melibatkan 34 pegawai.

JIM Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan operasi yang berlangsung dari pukul 6.00 petang itu membabitkan serbuan di tapak pasar malam, sebuah kedai makan serta rumah flat.

Menerusi Ops Kutip di tapak pasar malam Jalan Seri Selayang, Batu Caves, lebih 30 warga asing termasuk seorang kanak-kanak ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Dalam operasi di tapak pasar malam itu, seramai 59 warga asing telah diperiksa dan hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 39 individu.

"Antara individu ditahan adalah warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan,” katanya

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah berada di negara ini selepas tamat tempoh yang dibenarkan, melanggar ketetapan pas yang dimiliki dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Operasi kemudian diteruskan menerusi Ops Selera di restoran SV Villas Pure Vegetarian di Jalan 8A, Selayang Baru, Batu Caves.

Menurutnya, operasi tersebut membawa kepada penahanan beberapa warga asing selepas disyaki bekerja tanpa kebenaran sah.

Dalam pemeriksaan itu, empat warga asing ditahan termasuk disyaki menggunakan pas lawatan sosial bagi tujuan bekerja.

Di lokasi ketiga, Ops Sapu dilaksanakan di sebuah rumah flat persendirian di Kampung Laksamana, yang menyaksikan sembilan warga asing ditahan.

Tangkapan di lokasi berkenaan turut melibatkan dua kanak-kanak yang berada bersama ibu bapa mereka ketika pemeriksaan dijalankan.

Berdasarkan pecahan kewarganegaraan, individu yang ditahan terdiri daripada 16 warga Myanmar, 11 warga Pakistan, sembilan warga Bangladesh, masing-masing enam warga India dan Indonesia serta empat warga Sri Lanka.

Keseluruhan tangkapan melibatkan 38 lelaki, 11 wanita dan tiga kanak-kanak.

Kesemua individu terbabit dibawa untuk proses dokumentasi dan pemeriksaan lanjut sebelum tindakan susulan diambil oleh pihak imigresen.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengekang kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen," jelasnya.

Orang ramai turut digesa membantu dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang pelanggaran yang dikesan kepada pihak imigresen.

+ - reset