TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Saran tiru ketegasan Australia sekat PATI, Ibrahim Ali sifatkan Malaysia kini 'syurga warga asing'

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Jun – Malaysia disaran untuk mencontohi ketegasan undang-undang Australia dalam menangani isu lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) memandangkan situasi kebanjiran warga asing di dalam negara ketika ini dilihat semakin meruncing.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali menegaskan bahawa kehadiran kumpulan PATI berkenaan bukan sahaja mencatatkan jumlah yang terlalu ramai, malah sebahagian daripada mereka kini semakin biadap, berani melakukan jenayah, serta sewenang-wenangnya melanggar undang-undang Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa di bawah sistem perundangan Australia, mana-mana individu yang dikesan menceroboh masuk menaiki bot tanpa izin akan diharamkan sepenuhnya daripada menetap di negara berkenaan seumur hidup, walaupun golongan itu memegang status pelarian tulen.

“Jika sebuah kapal pelarian tiba di perairan Australia, pihak berkuasa Australia akan segera mengendalikan mereka dengan tegas dan pantas. Kapal tentera laut dan Australian Border Force (ABF) akan memintas kapal pelarian tersebut sebelum ia sempat mendarat di tanah besar Australia. Pihak berkuasa akan memeriksa keselamatan kapal, memberikan rawatan kecemasan jika ada yang sakit tenat, serta membekalkan makanan dan air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ibrahim memperincikan bahawa dasar utama Australia adalah menghalang sepenuhnya kapal pelarian daripada memasuki wilayah mereka, di mana kapal yang dikesan masih selamat untuk belayar akan terus diiring atau diarahkan berpatah balik ke perairan antarabangsa dengan serta-merta.

Bagaimanapun, sekiranya kapal asing yang menceroboh itu didapati sudah uzur, bocor, atau berada dalam situasi karam, pihak berkuasa Australia tetap akan menyelamatkan para penumpang atas dasar kemanusiaan antarabangsa.

Walaupun diselamatkan, golongan pelarian berkenaan sama sekali tidak akan dibenarkan untuk dibawa masuk ke tanah besar Australia, sebaliknya mereka akan dipindahkan ke kapal penguat kuasa untuk dihantar terus ke Pusat Pemprosesan Serantau di Pulau Nauru.

Katanya lagi, status PATI sebagai pelarian akan diproses oleh pegawai imigresen di pulau tersebut sebelum mereka ditempatkan di negara-negara ketiga yang telah menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.

Menerusi kaedah penapisan yang ketat itu, kumpulan pelarian yang datang menggunakan jalan laut tidak mempunyai sebarang peluang untuk menjejakkan kaki atau membina kehidupan dalam radius komuniti domestik di Australia.

Justeru, beliau menegaskan bahawa Malaysia sewajarnya mengadaptasi model tersebut kerana ia telah terbukti berjaya menyekat kemasukan warga asing ekoran pelaksanaan dasar yang jelas, penguatkuasaan yang cekap, serta pegawainya yang bebas daripada gejala rasuah.

Beliau turut mencadangkan agar Malaysia menetapkan had siling kuota maksimum penerimaan PATI, sebagai contoh setakat 200,000 orang sahaja, dan mana-mana kumpulan yang melebihi had tersebut mestilah diusir keluar tanpa sebarang tolak ansur.

“Kenapa Thailand dan negara jiran yang lain tidak menjadi sasaran PATI? Sebabnya negara lain tegas dan tiada tolak ansur dengan PATI. Malaysia adalah syurga PATI kerana segala-galanya bocor akibat rasuah dan pemimpin-pemimpin serta pegawai-pegawai kerajaan ada yang tidak bertanggungjawab,” dakwa beliau lagi.

Sebagai langkah penyelesaian, beliau menuntut agar sistem kawalan ketat dan tindakan tegas di semua pintu sempadan negara diperkasakan secara agresif seumpama yang dipraktikkan oleh Australia dan Eropah bagi menyekat serta menghalau keluar mana-mana PATI tanpa mengira status mereka.

+ - reset