TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bilal muda meninggal dunia selepas laung azan Maghrib di Bandar Baru Selayang

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 15 Jun – Pemergian seorang bilal muda, Ahmad Haziq Jailani, 32, yang dilaporkan menghembuskan nafas terakhir sejurus selesai melaungkan azan Maghrib di Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang semalam, mengundang rasa hiba dan sebak yang mendalam dalam kalangan ahli kariah serta masyarakat setempat.

Perkhabaran duka mengenai kematian Allahyarham mula tular di pelbagai platform media sosial sejak pagi tadi apabila ramai pengguna tampil berkongsi kisah, dedikasi, serta kenangan murni bersama bilal tersebut.

Rata-rata masyarakat menyifatkan Allahyarham Ahmad Haziq sebagai seorang pemuda yang sangat aktif dalam program kemasyarakatan serta sentiasa komited mengimarahkan rumah Allah.

Menerusi perkongsian yang tular, Allahyarham difahamkan meninggal dunia selepas selesai melaungkan azan Maghrib sebelum rebah dipercayai akibat serangan jantung. Pihak pengurusan Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang turut mengesahkan pemergian mengejut itu menerusi satu poster takziah rasmi yang dimuat naik di media sosial mereka.

Allahyarham yang dilahirkan pada 8 Julai 1993 berkhidmat sebagai Bilal 2 di masjid berkenaan. Sepanjang hayatnya, beliau dikenali sebagai seorang yang sangat istiqamah dengan tugasnya selain aktif dalam pelbagai program belia dan aktiviti kebajikan.

Seorang kenalan rapatnya, MN Afzan AbWahab menerusi satu hantaran di Facebook, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang insan yang sentiasa mengingatkan orang sekeliling kepada pencipta-Nya.

“Almarhum dijemput Allah sejurus selesai melaungkan azan. Almarhum mengakhiri hayatnya dalam keadaan melaksanakan satu ibadah yang mulia, menyeru manusia kepada solat, mengagungkan nama Allah dan mengajak manusia menuju kejayaan.

"Benarlah, Almarhum adalah antara sahabat yang apabila bersama dengannya, kita diingatkan kepada Allah. Bahkan selepas pemergiannya juga, beliau terus mengingatkan kita tentang kehidupan yang sementara dan perjalanan menuju akhirat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi kenalan yang dikenali sebagai Zaidy Abdul Talib turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat komuniti dan saf pemuda setempat.

“Masih terbayang senyuman, semangat dan kesungguhannya dalam setiap gerak kerja jemaah. Almarhum Ustaz Ahmad Haziq bukan sahaja istiqamah mengimarahkan masjid sebagai bilal, malah sangat aktif bersama program-program pemuda dan sentiasa hadir membantu dalam pelbagai tugasan.

"Perginya pada usia muda benar-benar meninggalkan kesan kepada sahabat seperjuangan. Kehilangannya bukan sekadar kehilangan seorang petugas, tetapi kehilangan seorang anak muda yang mengabdikan sebahagian besar hidupnya untuk agama, masjid dan masyarakat,” kongsi beliau.

Urusan pengurusan jenazah Allahyarham dijadualkan berlangsung sepenuhnya hari ini di Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang, di mana solat jenazah telah didirikan pada pukul 10.00 pagi tadi sebelum disemadikan dengan selamat.

Ruangan ulasan media sosial sehingga kini terus dibanjiri dengan ucapan takziah serta titipan doa daripada netizen yang rata-ratanya mencemburui pengakhiran hidup Allahyarham yang disifatkan sebagai 'husnul khatimah'.

+ - reset