Berita Berita
Gempa bumi 7.8 magnitud di Filipina ragut 31 nyawa, puluhan masih hilang
GENERAL SANTOS 9 Jun – Sekurang-kurangnya 31 orang dilaporkan maut manakala lebih 130 cedera selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 menggegarkan selatan Filipina pada Isnin, sekali gus mencetuskan kemusnahan besar serta amaran tsunami di beberapa kawasan pesisir pantai.
Menurut pihak berkuasa bencana negara itu, sekurang-kurangnya 12 individu masih dilaporkan hilang ketika operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan.
Gempa bumi yang berpusat di luar pesisir berhampiran General Santos, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 720,000 penduduk, turut menyebabkan bangunan runtuh, tanah runtuh serta gangguan bekalan elektrik dan komunikasi.
Pihak berkuasa Filipina mengarahkan penduduk di kawasan pantai yang terjejas supaya berpindah ke kawasan lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga susulan amaran tsunami yang dikeluarkan selepas kejadian.
Di Bandar General Santos sahaja, sekurang-kurangnya sembilan kematian direkodkan akibat runtuhan bangunan dan insiden berkaitan gempa.
Keadaan bertambah buruk apabila beberapa gegaran susulan kuat berlaku kira-kira dua jam selepas gempa utama, dengan gegaran paling kuat direkodkan bermagnitud 6.5 menurut Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Di wilayah Sarangani yang antara paling teruk terjejas, Ketua Pengurusan Bencana wilayah itu, Rene Punzalan berkata, sekurang-kurangnya 14 penduduk maut di daerah Glan selepas tanah runtuh menimbus rumah mereka di kawasan kaki gunung.
“Tanah runtuh berlaku sejurus selepas gempa bumi dan menyebabkan banyak kehilangan nyawa.
“Cabaran terbesar ketika ini ialah komunikasi kerana bekalan elektrik terputus, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan maklumat terkini dari kawasan terjejas,” katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa turut bimbang dengan risiko gegaran susulan yang berterusan selain ketakutan yang masih menyelubungi penduduk setempat.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa bangunan mengalami kerosakan serius, termasuk sebuah pusat beli-belah yang menempatkan restoran makanan segera dan sebuah bangunan sekolah yang runtuh akibat gegaran kuat.
Turut tular rakaman yang memaparkan murid-murid sekolah dalam keadaan panik dan menangis ketika gempa melanda, sebelum sebahagian struktur logam berhampiran runtuh beberapa saat kemudian.
Bagaimanapun, pihak sekolah memaklumkan tiada mangsa berada berhampiran struktur tersebut ketika kejadian berlaku.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di beberapa lokasi runtuhan dengan pihak berkuasa menjangkakan angka korban mungkin meningkat berikutan masih terdapat kawasan yang belum dapat dihubungi akibat kerosakan infrastruktur dan gangguan komunikasi.
Berita berkaitan
June 15, 2026, 8:12 pm
Guru lelaki didakwa buat amang seksual fizikal pelajar tingkatan satu
June 15, 2026, 8:07 pm
Pasangan suami isteri warga emas maut, motosikal dirempuh Kancil masuk simpang
June 15, 2026, 8:00 pm
Operasi LRT3 dijangka bermula hujung bulan ini, tarikh rasmi diumumkan dua minggu lagi
June 15, 2026, 6:43 pm
Pelarian Rohingya tiada subsidi, menteri tegaskan caj rawatan sama dengan warga asing lain
June 15, 2026, 6:38 pm
Program UMP: Kerajaan tanggung sepenuhnya kos pos ubat 80,000 pesakit mulai Julai
June 15, 2026, 1:50 pm
El Niño berlarutan hingga 2027: Bomba siap siaga penuh, pantau titik panas secara agresif
June 15, 2026, 1:43 pm
Takiyuddin persoal Azlan Johar direhatkan pengulas Piala Dunia RTM selepas sertai PAS
June 15, 2026, 12:05 pm
Tiga lokasi di Selayang diserbu, 52 warga asing termasuk tiga kanak-kanak ditahan
June 15, 2026, 11:19 am
