Berita Berita
Malaysia tidak boleh usir Rohingya sesuka hati – Saifuddin
KUALA LUMPUR 9 Jun – Kerajaan tidak boleh mengambil tindakan mengusir pelarian Rohingya secara sewenang-wenangnya meskipun berdepan tekanan dan desakan pelbagai pihak kerana isu tersebut melibatkan pertimbangan kemanusiaan, keselamatan serta tanggungjawab antarabangsa negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan terhadap komuniti pelarian perlu dilaksanakan secara seimbang dan tidak boleh dipandu oleh sentimen atau emosi semata-mata.
Menurut beliau, kerajaan memahami kebimbangan rakyat berhubung kehadiran pelarian Rohingya, namun realiti yang menyebabkan mereka meninggalkan negara asal juga perlu diambil kira.
“Kalau mereka ada pilihan, adakah mereka akan datang ke sini ketika kampung halaman mereka dibakar, wanita dirogol, identiti diri tidak diberikan, masjid dan kampung dimusnahkan?
“Dalam keadaan itu, apa pilihan yang mereka ada? Mereka sanggup menempuh lautan luas dan dalam banyak-banyak negara, Malaysia menjadi destinasi mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas petisyen dalam talian yang menggesa pelarian Rohingya dihantar pulang atau ditempatkan semula ke negara ketiga, yang dilaporkan memperoleh ratusan ribu tandatangan.
Saifuddin bagaimanapun menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara dan sebarang dakwaan kononnya pelarian diberikan dokumen pengenalan diri secara sewenang-wenangnya adalah tidak benar.
“Wujud fitnah yang menggambarkan seolah-olah kerajaan memberikan identiti diri kepada pelarian tanpa kawalan. Seolah-olah negara ini tidak mempunyai sistem dan undang-undang.
“Tidak. Kita tidak akan berkompromi sama sekali dalam aspek keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, isu pelarian perlu diurus secara bijaksana dan berhemah dengan mengambil kira kepentingan keselamatan negara, rakyat serta kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin memaklumkan Jabatan Imigresen telah mempergiatkan operasi penguatkuasaan terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti tidak dibenarkan.
Menurutnya, tindakan itu susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementerian dan agensi berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti perniagaan haram warga asing serta penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.
“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Akta Imigresen, manakala isu melibatkan lesen dan premis perniagaan berada di bawah bidang kuasa agensi kawal selia berkaitan.
“Perdana Menteri mahukan tindakan bersepadu dilaksanakan segera tanpa sebarang penangguhan,” katanya.
Pada masa sama, perdebatan mengenai status pelarian Rohingya terus berlangsung apabila beberapa pihak termasuk majikan dan pertubuhan hak asasi mencadangkan agar pelarian berdaftar diberikan peluang bekerja secara sah bagi membantu menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor 3D iaitu pekerjaan yang kotor, berbahaya dan sukar.
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan isu pelarian dan warga asing diurus secara teratur tanpa menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara.
Berita berkaitan
June 15, 2026, 8:12 pm
Guru lelaki didakwa buat amang seksual fizikal pelajar tingkatan satu
June 15, 2026, 8:07 pm
Pasangan suami isteri warga emas maut, motosikal dirempuh Kancil masuk simpang
June 15, 2026, 8:00 pm
Operasi LRT3 dijangka bermula hujung bulan ini, tarikh rasmi diumumkan dua minggu lagi
June 15, 2026, 6:43 pm
Pelarian Rohingya tiada subsidi, menteri tegaskan caj rawatan sama dengan warga asing lain
June 15, 2026, 6:38 pm
Program UMP: Kerajaan tanggung sepenuhnya kos pos ubat 80,000 pesakit mulai Julai
June 15, 2026, 1:50 pm
El Niño berlarutan hingga 2027: Bomba siap siaga penuh, pantau titik panas secara agresif
June 15, 2026, 1:43 pm
Takiyuddin persoal Azlan Johar direhatkan pengulas Piala Dunia RTM selepas sertai PAS
June 15, 2026, 12:05 pm
Tiga lokasi di Selayang diserbu, 52 warga asing termasuk tiga kanak-kanak ditahan
June 15, 2026, 11:19 am
