TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemimpin Bersatu gesa Muhyiddin kembali terajui PN selepas PAS tamatkan kerjasama

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Jun – Seorang pemimpin kanan Bersatu menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali menerajui Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, gabungan pembangkang itu kini memerlukan kepimpinan yang mampu menyatukan semua pihak dan membina semula kekuatan PN dalam menghadapi landskap politik yang semakin mencabar.

Menurut beliau, situasi semasa menuntut seorang pemimpin yang berupaya meredakan ketegangan, mengurus perbezaan pandangan serta mengembalikan fokus kepada agenda perjuangan rakyat.

“Dalam keadaan sekarang, PN tidak memerlukan retorik yang membakar emosi, sebaliknya seorang pemimpin yang mampu menyatukan, menenangkan keadaan dan membina semula kekuatan gabungan.

“Sebab itulah ramai melihat sudah tiba masanya Tan Sri Muhyiddin kembali memimpin PN sebagai Pengerusi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Afif berkata, sejak penubuhan PN pada 2020, Muhyiddin bukan sahaja berperanan sebagai pengasas, malah menjadi tokoh yang berjaya menghimpunkan pelbagai aliran politik di bawah satu gabungan.

Menurutnya, pendekatan sederhana, inklusif dan berteraskan musyawarah yang dibawa Muhyiddin sebelum ini membolehkan PN memperoleh sokongan daripada pelbagai kelompok pengundi.

“PN memerlukan semula kepimpinan yang mampu menarik sokongan rakyat yang lebih luas, termasuk golongan Melayu moderat, pengundi atas pagar, anak muda profesional dan mereka yang mahukan kestabilan politik,” katanya.

Malam tadi, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat membuat keputusan tersebut berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.

Muhyiddin sebelum ini melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu selepas menerajui gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.

Pada Februari lalu, Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu.

Mengulas lanjut, Dr Afif berkata kekuatan PN pada pilihan raya lalu bukan berpunca daripada satu parti semata-mata, sebaliknya hasil gabungan pelbagai kelompok rakyat yang melihat PN sebagai alternatif kepada kerajaan semasa.

Katanya, Muhyiddin memiliki kredibiliti untuk memimpin agenda penyatuan Melayu secara inklusif tanpa mengabaikan kepentingan rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Malaysia hari ini memerlukan kepimpinan yang menyatukan, bukan memecahkan. Kepimpinan yang membina jambatan, bukan tembok.

“Atas sebab itu, saya percaya ramai penyokong PN akan bersetuju bahawa Muhyiddin perlu kembali sebagai Pengerusi PN demi kestabilan, penyatuan dan masa depan perjuangan yang lebih besar,” katanya.

+ - reset