TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerja potong besi punca kebakaran bekas Pawagam Odeon

By
|
Kongsi
image

GEORGE TOWN 9 Jun – Siasatan forensik bomba mengesahkan kerja-kerja pemotongan besi menggunakan peralatan oxy-cutter menjadi punca kebakaran bangunan bekas Pawagam Odeon di Jalan Penang yang mengorbankan seorang lelaki Rohingya pada 30 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, insiden membabitkan bangunan warisan dua tingkat itu diklasifikasikan sebagai kemalangan semasa kerja pengubahsuaian sedang dijalankan di dalam premis.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sisa leburan logam panas daripada aktiviti pemotongan oleh pekerja telah jatuh ke bahagian bawah lalu menyambar bahan mudah terbakar sebelum api merebak dengan cepat.

Pemeriksaan Unit Anjing Pengesan (K9) di lokasi kejadian turut mengesahkan tiada sebarang unsur khianat atau penggunaan bahan pemecut kebakaran (accelerant) dikesan di kawasan struktur yang dahulunya menempatkan sebuah pusat hiburan itu.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Boshi Sabi Ullah, 56, ditemui meninggal dunia di tingkat bawah bangunan, manakala dua lagi pekerja terselamat dalam insiden berkenaan.

+ - reset