Berita Berita
Bekas pelajar tahfiz, Muhammad Izzahan raih pelbagai anugerah cemerlang di Amerika Syarikat
KUALA LUMPUR 9 Jun – Bermula sebagai pelajar tahfiz di sekolah berasrama penuh, seorang anak muda Malaysia kini membuktikan kecemerlangan akademik dan kepimpinan mampu digapai di pentas antarabangsa apabila menamatkan pengajian dengan cemerlang di Amerika Syarikat.
Muhammad Izzahan Isman bukan sahaja berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Michigan State University, malah turut mengharumkan nama negara menerusi pelbagai pencapaian akademik dan kokurikulum sepanjang tempoh pengajiannya.
Kisah kejayaan beliau diketengahkan menerusi program MARA Trailblazer – Graduation Series yang disiarkan di Facebook, menampilkan graduan tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mencipta kecemerlangan sepanjang melanjutkan pengajian di luar negara.
Menurut perkongsian tersebut, Izzahan merupakan penerima tajaan di bawah Young Talent Development Programme (YTP) MARA dan merupakan bekas pelajar tahfiz dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang, Selangor.
“Berbekalkan asas pendidikan agama yang kukuh serta semangat untuk terus menimba ilmu, beliau melangkah ke Amerika Syarikat bagi merealisasikan impiannya,” menurut hantaran itu.
Sepanjang pengajian di Michigan State University, Izzahan berjaya mengekalkan prestasi akademik cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.72.
Kecemerlangan tersebut melayakkan beliau menerima beberapa pengiktirafan berprestij termasuk Spartan Difference Award – Initiative, Green Cranium Award – Problem Solving (Honorary Recipient) serta ROTC Academic Ribbons bagi pencapaian akademik melebihi 3.5.
Namun, pencapaian Izzahan tidak terhad kepada akademik semata-mata.
Beliau turut aktif menyertai pelbagai program pembangunan kepimpinan dan kokurikulum yang membentuk kemahiran diri serta meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
Antara penglibatan penting beliau ialah sebagai kadet dalam Army Reserve Officers' Training Corps (ROTC), sebuah program latihan yang memberi pendedahan kepada aspek disiplin, kepimpinan dan pengurusan pasukan.
Kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang program tersebut membolehkan beliau menerima pengiktirafan rasmi daripada Professor of Military Science, Lieutenant Colonel (LTC) Sisoura atas profesionalisme dan perkembangan kepimpinan yang dipamerkan.
Selain itu, beliau turut terlibat sebagai penganalisis ekonomi dalam College Fed Challenge, menyertai Personal Investment Club serta berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam bagi Malaysian Student Organization.
Dengan gabungan ilmu ekonomi, pengalaman kepimpinan, latihan ketenteraan serta latar belakang pendidikan tahfiz, Izzahan kini bersedia untuk kembali berkhidmat di tanah air dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Kisah kejayaan beliau dilihat sebagai bukti bahawa kecemerlangan akademik, kepimpinan dan nilai keagamaan mampu digabungkan dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing di peringkat global.
Berita berkaitan
June 15, 2026, 8:12 pm
Guru lelaki didakwa buat amang seksual fizikal pelajar tingkatan satu
June 15, 2026, 8:07 pm
Pasangan suami isteri warga emas maut, motosikal dirempuh Kancil masuk simpang
June 15, 2026, 8:00 pm
Operasi LRT3 dijangka bermula hujung bulan ini, tarikh rasmi diumumkan dua minggu lagi
June 15, 2026, 6:43 pm
Pelarian Rohingya tiada subsidi, menteri tegaskan caj rawatan sama dengan warga asing lain
June 15, 2026, 6:38 pm
Program UMP: Kerajaan tanggung sepenuhnya kos pos ubat 80,000 pesakit mulai Julai
June 15, 2026, 1:50 pm
El Niño berlarutan hingga 2027: Bomba siap siaga penuh, pantau titik panas secara agresif
June 15, 2026, 1:43 pm
Takiyuddin persoal Azlan Johar direhatkan pengulas Piala Dunia RTM selepas sertai PAS
June 15, 2026, 12:05 pm
Tiga lokasi di Selayang diserbu, 52 warga asing termasuk tiga kanak-kanak ditahan
June 15, 2026, 11:19 am
