Berita Berita
'Lepas ni siapa lagi? Siapa sahaja yang bergabung dengan PAS mesti berakhir dengan 'perceraian'' - Saifuddin
BATU PAHAT 9 Jun – Keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana parti itu mempunyai sejarah berpisah dengan hampir semua rakan politiknya sebelum ini, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, tindakan yang diputuskan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu hanya mengulangi corak politik yang sama seperti pernah berlaku dalam beberapa gabungan dan kerjasama terdahulu.
Katanya, sepanjang sejarah politik negara, beberapa parti yang pernah bekerjasama dengan PAS akhirnya berdepan pengakhiran yang serupa.
“Kita tengok kerjasama dengan Semangat 46, kemudian Pakatan Harapan, UMNO menerusi Muafakat Nasional dan seterusnya Bersatu. Semua menerima nasib yang sama.
“Walaupun alasannya sering dikaitkan dengan penyatuan ummah, namun semuanya bergantung kepada tafsiran dan sudut pandang PAS sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Citra Negara, Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad; Pengarah ADTEC Batu Pahat, Dr Muhammad Yusof serta Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata politik sememangnya bersifat dinamik, namun setiap kerjasama yang dibentuk seharusnya berpaksikan prinsip keadilan, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
“Rukun prinsip politik dalam Islam ialah menegakkan keadilan, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran serta menyemai sifat kasih sayang dan perpaduan.
“Itu prinsip politik Islam yang sebenar,” katanya.
Dalam nada sinis, beliau turut mempersoalkan parti mana pula yang bakal menjadi rakan politik PAS selepas ini.
“Lepas ini siapa lagi? Siapa sahaja yang bergabung dengan PAS akhirnya berakhir dengan perceraian.
“Cuma bezanya sama ada talak satu, talak dua atau talak tiga,” katanya.
Semalam, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Keputusan tersebut sekali gus menamatkan hubungan politik yang terjalin antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan membuka lembaran baharu dalam landskap politik pembangkang negara.
Berita berkaitan
June 15, 2026, 8:12 pm
Guru lelaki didakwa buat amang seksual fizikal pelajar tingkatan satu
June 15, 2026, 8:07 pm
Pasangan suami isteri warga emas maut, motosikal dirempuh Kancil masuk simpang
June 15, 2026, 8:00 pm
Operasi LRT3 dijangka bermula hujung bulan ini, tarikh rasmi diumumkan dua minggu lagi
June 15, 2026, 6:43 pm
Pelarian Rohingya tiada subsidi, menteri tegaskan caj rawatan sama dengan warga asing lain
June 15, 2026, 6:38 pm
Program UMP: Kerajaan tanggung sepenuhnya kos pos ubat 80,000 pesakit mulai Julai
June 15, 2026, 1:50 pm
El Niño berlarutan hingga 2027: Bomba siap siaga penuh, pantau titik panas secara agresif
June 15, 2026, 1:43 pm
Takiyuddin persoal Azlan Johar direhatkan pengulas Piala Dunia RTM selepas sertai PAS
June 15, 2026, 12:05 pm
Tiga lokasi di Selayang diserbu, 52 warga asing termasuk tiga kanak-kanak ditahan
June 15, 2026, 11:19 am
