Berita Berita
KPM lulus pembinaan penuh SJKT Castlefield kos keseluruhan RM36.6 juta
Oleh AZIM SAID
PUCHONG 9 Jun– Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini secara rasmi meluluskan pembinaan semula penuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Castlefield di premis baharu dengan kos keseluruhan projek dianggarkan sebanyak RM36.6 juta.
Projek itu akan dilaksanakan secara kerjasama antara pihak sekolah, Prasarana dan kontraktor Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA).
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, usaha pembinaan semula sekolah itu mempunyai sejarah yang panjang sejak tahun 2012 apabila satu perjanjian dimeterai antara pihak sekolah dan Prasarana bagi memindahkan sekolah ke tapak baharu yang lebih kondusif.
Namun, projek tersebut tertangguh selama beberapa tahun sebelum Kementerian Pengangkutan dan Prasarana pada tahun 2020 meminta penglibatan DMIA untuk membantu merealisasikan projek berkenaan.
Daripada jumlah kos RM36.6 juta, Prasarana komited menanggung RM20 juta, manakala baki kos akan ditanggung oleh DMIA menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"SJKT Castlefield kini mempunyai kira-kira 710 murid dan berdepan kekangan ruang serta bilik darjah yang tidak mencukupi," katanya ketika sidang media Majlis Penyerahan Surat Kebenaran Pembinaan Sekolah Gantian Penuh SJKT Castlefield.
Setiap kelas menempatkan sekitar 38 hingga 40 murid, manakala permintaan kemasukan murid baharu sentiasa melebihi kapasiti sekolah.
Melalui projek baharu ini, sekolah tersebut bakal dilengkapi dengan 36 bilik darjah serta pelbagai kemudahan moden yang dijangka mampu meningkatkan akses pendidikan kepada masyarakat setempat.
Kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan dalam masa terdekat selepas kelulusan rasmi diberikan.
"Mengikut kontrak, projek itu dijadualkan siap menjelang Ogos 2028, sekali gus membolehkan sesi persekolahan di premis baharu dimulakan pada Januari 2029," jelasnya.
Dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan beberapa projek pembangunan sekolah Tamil lain yang telah diluluskan pada tahun 2026, termasuk pembangunan semula SJKT Ladang Jeram di Kuantan dengan peruntukan RM22.2 juta, pembinaan semula SJKT Gopeng di Perak bernilai RM14 juta serta pembinaan semula SJKT Pangkor di Perak dengan peruntukan RM15 juta.
KPM menegaskan bahawa sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan negara yang akan terus diberikan perhatian serta sokongan sewajarnya.
Kementerian juga komited memastikan akses pendidikan yang adil kepada semua murid tanpa mengira kaum, agama atau aliran sekolah.
Berita berkaitan
June 15, 2026, 8:12 pm
Guru lelaki didakwa buat amang seksual fizikal pelajar tingkatan satu
June 15, 2026, 8:07 pm
Pasangan suami isteri warga emas maut, motosikal dirempuh Kancil masuk simpang
June 15, 2026, 8:00 pm
Operasi LRT3 dijangka bermula hujung bulan ini, tarikh rasmi diumumkan dua minggu lagi
June 15, 2026, 6:43 pm
Pelarian Rohingya tiada subsidi, menteri tegaskan caj rawatan sama dengan warga asing lain
June 15, 2026, 6:38 pm
Program UMP: Kerajaan tanggung sepenuhnya kos pos ubat 80,000 pesakit mulai Julai
June 15, 2026, 1:50 pm
El Niño berlarutan hingga 2027: Bomba siap siaga penuh, pantau titik panas secara agresif
June 15, 2026, 1:43 pm
Takiyuddin persoal Azlan Johar direhatkan pengulas Piala Dunia RTM selepas sertai PAS
June 15, 2026, 12:05 pm
Tiga lokasi di Selayang diserbu, 52 warga asing termasuk tiga kanak-kanak ditahan
June 15, 2026, 11:19 am
