TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DBKL nafi dirasuah penjaja asing, pulangkan jagung selepas peniaga merayu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan liar netizen yang mendakwa anggota penguat kuasanya menerima rasuah bagi melepaskan barangan sitaan kepada penjaja warga asing di Bukit Bintang.

DBKL dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa insiden yang berlaku pada Ahad lalu itu sebenarnya melibatkan seorang penjaja warganegara tempatan yang dikesan menjual jagung bakar tanpa lesen sah.

"Tindakan tegas telah diambil di bawah UUK 3(1) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, di mana petugas DBKL telah menyita peralatan utama perniagaan iaitu satu unit tong gas dan sebuah troli untuk dibawa ke stor sitaan," katanya.

Mengulas mengenai tindakan memulangkan sebuah kotak polistirena putih seperti yang dipaparkan dalam video tular, DBKL menegaskan keputusan itu dibuat kerana mengambil kira sifat barangan tersebut yang merupakan bahan makanan mudah rosak.

"Ia dilakukan setelah peniaga tersebut merayu untuk mendapatkan semula bahan makanan (jagung mentah) yang mudah rosak. Mengambil kira sifat bahan makanan tersebut, petugas memberikan amaran keras dan memulangkan kotak makanan berkenaan. Namun, tindakan undang-undang ke atas peralatan perniagaan yang lain tetap diteruskan secara konsisten," jelas kenyataan itu lagi.

DBKL menegaskan pihaknya tidak pernah berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang yang mana sebanyak lima kes sitaan dan empat notis kompaun telah dikeluarkan di sekitar kawasan terbabit pada hari yang sama.

Orang ramai digesa supaya menghentikan sebarang spekulasi tidak berasas yang boleh menjejaskan reputasi agensi penguatkuasaan serta menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

+ - reset