TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tunku Nadzaruddin dilucut gelaran Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 9 Jun – Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Jaafar tidak lagi menyandang gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan selepas didakwa cuba menerima gelaran Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan menerusi satu majlis yang disifatkan tidak sah.

Pengelola Bijaya Diraja, Datuk hAzizi Mohamad Ali berkata, majlis yang didakwa sebagai Istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun lalu tidak mempunyai sebarang kedudukan dari sudut Perlembagaan, undang-undang mahupun adat istiadat Negeri Sembilan.

Menurut beliau, gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba diterima oleh Tunku Nadzaruddin tidak mempunyai sebarang kesan perundangan dan tidak diiktiraf oleh institusi diraja negeri.

“Adalah dimaklumkan bahawa majlis yang dikatakan sebagai ‘Istiadat Pemasyhuran’ Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun 2026 adalah tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.

“Oleh itu, gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba diambil oleh Tunku Nadzaruddin adalah tidak berkuat kuasa dan dengan cuba menerima gelaran yang tidak sah itu, beliau dengan sendirinya telah melepaskan gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Susulan itu, Azizi berkata, ketika ini tiada individu yang menyandang gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan.

Pada 6 Jun lalu, media melaporkan bahawa Undang Yang Empat telah memasyhurkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis khas yang diadakan di sebuah hotel di Melaka.

Majlis tersebut dihadiri anggota Dewan Keadilan dan Undang (DKU) terdiri daripada Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad dan Tuanku Besar Tampin, Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Tiga lagi anggota DKU iaitu Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin serta Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid pula menyaksikan majlis berkenaan menerusi sidang video.

Sebelum majlis berlangsung, dilaporkan berlaku sedikit kekecohan apabila beberapa pembesar adat yang hadir dikatakan dihalang daripada bertemu Tunku Nadzaruddin di tingkat atas hotel berkenaan.

Perkembangan terbaharu itu dijangka menambah lagi perhatian terhadap kemelut melibatkan institusi adat dan diraja Negeri Sembilan yang menjadi tumpuan sejak beberapa hari kebelakangan ini.

+ - reset