Berita Berita
Kes tampar pipi: Cucu Nik Aziz, Ketua UMNO Beruas pilih berdamai, tamatkan kontroversi
KOTA BHARU 10 Jun – Kontroversi membabitkan cucu Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi dan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berakhir apabila kedua-dua pihak sepakat menyelesaikan isu tersebut secara baik dan memilih jalan perdamaian.
Menerusi kenyataan bersama, Nik Alif Aiman dan Azhar memaklumkan mereka saling menerima permohonan maaf yang dikemukakan atas semangat ukhuwah, saling menghormati serta demi menjaga keharmonian semua pihak.
Menurut mereka, keputusan itu dicapai selepas perbincangan mesra yang diadakan bagi meredakan salah faham yang timbul susulan insiden yang didakwa berlaku ketika satu program anjuran universiti di Pahang pada 20 Mei lalu.
“Merujuk kepada insiden yang berlaku baru-baru ini membabitkan kedua-dua pihak, kami dengan ini bersama-sama memohon maaf terhadap satu sama lain berkenaan salah faham yang berbangkit daripada insiden yang didakwa berlaku ketika program Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 20 Mei lalu.
“Kami sudah mengadakan perbincangan secara mesra dan mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tanpa meneruskan sebarang pertikaian yang berpanjangan,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut memaklumkan bahawa perbincangan tersebut dihadiri beberapa individu lain termasuk Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Dalam masa sama, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, komen atau mengambil tindakan yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak berkaitan insiden berkenaan.
“Kami juga bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, komen atau tindakan yang boleh memburukkan, mengaibkan atau menjejaskan nama baik mana-mana pihak berhubung insiden berkenaan,” katanya.
Nik Alif Aiman dan Azhar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam membantu mencapai penyelesaian secara harmoni.
Mereka berharap hubungan dalam masyarakat terus dipelihara berlandaskan nilai hormat-menghormati, kesopanan dan keharmonian.
“Menerusi kenyataan ini, kami menganggap perkara ini sudah diselesaikan secara muktamad dan memohon agar semua pihak menghormati privasi serta keputusan yang sudah dicapai,” menurut kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, media melaporkan Nik Alif Aiman mendakwa ditampar oleh seorang bekas senator ketika menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Menurut dakwaan tersebut, insiden berkenaan berlaku sekitar jam 6 petang selepas tamat sesi ceramah program berkenaan.
Bagaimanapun, Azhar menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa beliau hanya menyentuh pipi individu terbabit sebagai tanda kemesraan memandangkan mangsa merupakan anak saudara kepada sahabatnya.
Berita berkaitan
June 15, 2026, 8:12 pm
Guru lelaki didakwa buat amang seksual fizikal pelajar tingkatan satu
June 15, 2026, 8:07 pm
Pasangan suami isteri warga emas maut, motosikal dirempuh Kancil masuk simpang
June 15, 2026, 8:00 pm
Operasi LRT3 dijangka bermula hujung bulan ini, tarikh rasmi diumumkan dua minggu lagi
June 15, 2026, 6:43 pm
Pelarian Rohingya tiada subsidi, menteri tegaskan caj rawatan sama dengan warga asing lain
June 15, 2026, 6:38 pm
Program UMP: Kerajaan tanggung sepenuhnya kos pos ubat 80,000 pesakit mulai Julai
June 15, 2026, 1:50 pm
El Niño berlarutan hingga 2027: Bomba siap siaga penuh, pantau titik panas secara agresif
June 15, 2026, 1:43 pm
Takiyuddin persoal Azlan Johar direhatkan pengulas Piala Dunia RTM selepas sertai PAS
June 15, 2026, 12:05 pm
Tiga lokasi di Selayang diserbu, 52 warga asing termasuk tiga kanak-kanak ditahan
June 15, 2026, 11:19 am
