TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Niat alih tongkat bawa kepada penemuan mayat warga emas dalam longkang

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR 10 Jun – Tindakan seorang lelaki warga emas mengalihkan sebatang tongkat di atas jalan raya membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas lain di dalam sebuah longkang di Simpang Kuala, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, saksi yang berusia 61 tahun menemui mayat mangsa, Chew Kim Leng, 74, di dalam longkang berhampiran Jalan PSK 1 sebelum bertindak menahan kereta peronda polis yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal di sebuah rumah pangsa berhampiran dipercayai terjatuh setelah tergelincir ketika melalui kawasan longkang tersebut.

Pemeriksaan fizikal yang dijalankan oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di lokasi kejadian mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah ditemui pada badan mangsa.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

+ - reset