Berita Berita
Takut dicekup, enam nelayan asing sanggup berendam sejam dalam sungai
SABAK BERNAM 12 Jun – Enam nelayan warga asing sanggup bertindak nekad terjun ke dalam sungai, malah ada yang sanggup berendam hampir sejam semata-mata mahu mengelak daripada diperiksa pihak berkuasa dalam satu serbuan di perkampungan nelayan Bagan Nakhoda Omar di sini, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, tindakan itu gagal apabila mereka merupakan antara 79 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan dalam operasi bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.
Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata, operasi skala besar yang bermula sejak petang semalam itu turut merangkumi tindakan penguatkuasaan di daerah Kuala Selangor, melibatkan pemeriksaan keseluruhan ke atas 125 individu.
Menurutnya, kawasan perairan dan pesisir pantai Bagan Nakhoda Omar digempur selepas lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai antara titik panas (hotspot) bagi aktiviti penyeludupan migran serta pelbagai jenayah rentas sempadan.
“Kesemua yang ditahan berumur antara 18 hingga 60 tahun, melibatkan 69 lelaki dan 10 perempuan. Bagi tangkapan polis, kita telah menahan sebanyak tujuh lelaki warganegara tempatan disyaki berperanan sebagai tekong dan 28 warganegara asing yang dikesan masuk melalui laluan tidak sah di perairan Sabak Bernam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, antara kesalahan utama yang dikesan sepanjang operasi adalah menggaji dan melindungi warga asing tanpa dokumen, tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih tempoh, salah guna pas lawatan, serta menceroboh negara melalui laluan tikus.
Rangkaian sindiket dikesan ada 'sistem keselamatan' sendiri
Mengulas mengenai modus operandi, Mohd Zaini mendedahkan bahawa sindiket atau rangkaian yang melindungi PATI di kawasan terbabit dikesan bergerak secara agak sistematik dan mempunyai beberapa lapisan keselamatan tersendiri bagi menghidu kehadiran pihak berkuasa.
"Bukan sahaja dari segi premis itu sendiri, tetapi cara mereka reka laluan. Yang itu kita akan buat sedikit kajian dan masa depan mungkin kita akan buat operasi dengan kaedah yang sedikit berbeza agar lebih berkesan," jelas beliau.
Selain isu imigresen, operasi yang disertai oleh lapan agensi penguatkuasaan peringkat negeri itu turut berjaya membongkar dua kes penyelewengan bahan api diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dikendalikan oleh KPDN Selangor.
Pihak polis menegaskan operasi bersepadu ini akan diteruskan secara berfasa bagi memelihara kedaulatan perairan negara, di samping memberi amaran keras kepada orang awam dan majikan agar tidak sesekali melindungi atau menggaji PATI.
Berita berkaitan
June 15, 2026, 8:12 pm
Guru lelaki didakwa buat amang seksual fizikal pelajar tingkatan satu
June 15, 2026, 8:07 pm
Pasangan suami isteri warga emas maut, motosikal dirempuh Kancil masuk simpang
June 15, 2026, 8:00 pm
Operasi LRT3 dijangka bermula hujung bulan ini, tarikh rasmi diumumkan dua minggu lagi
June 15, 2026, 6:43 pm
Pelarian Rohingya tiada subsidi, menteri tegaskan caj rawatan sama dengan warga asing lain
June 15, 2026, 6:38 pm
Program UMP: Kerajaan tanggung sepenuhnya kos pos ubat 80,000 pesakit mulai Julai
June 15, 2026, 1:50 pm
El Niño berlarutan hingga 2027: Bomba siap siaga penuh, pantau titik panas secara agresif
June 15, 2026, 1:43 pm
Takiyuddin persoal Azlan Johar direhatkan pengulas Piala Dunia RTM selepas sertai PAS
June 15, 2026, 12:05 pm
Tiga lokasi di Selayang diserbu, 52 warga asing termasuk tiga kanak-kanak ditahan
June 15, 2026, 11:19 am
