Berita Berita
Sewa flat haram Sungai Tekali: Rohingya dakwa pemilik tanah sendiri tawarkan kediaman
KAJANG, 15 Jun – Warga Rohingya yang pernah mendiami penempatan flat haram di Sungai Tekali, Hulu Langat, di sini, mendedahkan bahawa pemilik tanah itu sendiri yang menawarkan dan menyewakan premis berkenaan kepada mereka sejak tahun 2019.
Tuan tanah terbabit dilaporkan membina hampir 30 unit kediaman secara haram sebelum menyewakannya pada kadar antara RM400 hingga RM750 sebulan mengikut keluasan bilik, sekali gus mengaut keuntungan atas angin melebihi RM15,000 setiap bulan.
Bagaimanapun, semua penghuni warga Rohingya mula mengosongkan flat tersebut selepas penempatan berkenaan digempur dalam 'Operasi Kutip' oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 28 Februari tahun lalu.
Seorang bekas penyewa etnik Rohingya, Husain Abdullah mendedahkan flat itu dibina secara berperingkat oleh pemilik tanah bermula tahun 2018 menggunakan tenaga kerja kontrak warga Indonesia dan Vietnam.
"Ada unit disewakan dengan harga RM400, RM500, RM600 dan RM750 kepada warga Rohingya, termasuk saya sendiri. Kami yang menyewa ditawarkan elektrik dan air secara percuma oleh pemilik dan saya percaya kemungkinan ia diambil secara haram dari sumber di kawasan berhampiran," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Seorang lagi warga Rohingya, Abdullah Saidurahman menyelar dakwaan kononnya pemilik tanah tidak tahu-menahu mengenai kehadiran warga asing di tapak tersebut atau wujudnya isu sewa atas penyewa lain.
Beliau mengesahkan daripada keseluruhan unit yang ada, hanya dua pintu sahaja disewa oleh warga tempatan manakala selebihnya dipenuhi oleh komuniti Rohingya sebelum mereka bertindak berpindah ke kawasan sekitar pasca-operasi pihak berkuasa.
Tinjauan media di lokasi flat haram berkenaan mendapati tiada sebarang aktiviti perobohan struktur dijalankan semalam, namun penempatan itu kini menjadi tumpuan penduduk sekitar Hulu Langat berikutan pendedahannya yang tular sejak seminggu lalu.
Premis yang kini kosong itu turut dikesan diconteng dengan semburan cat merah pada dinding tingkat bawah yang tertera tulisan berbentuk amaran berbunyi 'Ini Malaysia' dan 'Hantar Balik'.
Berita berkaitan
June 15, 2026, 6:43 pm
Pelarian Rohingya tiada subsidi, menteri tegaskan caj rawatan sama dengan warga asing lain
June 15, 2026, 6:38 pm
Program UMP: Kerajaan tanggung sepenuhnya kos pos ubat 80,000 pesakit mulai Julai
June 15, 2026, 1:50 pm
El Niño berlarutan hingga 2027: Bomba siap siaga penuh, pantau titik panas secara agresif
June 15, 2026, 1:43 pm
Takiyuddin persoal Azlan Johar direhatkan pengulas Piala Dunia RTM selepas sertai PAS
June 15, 2026, 12:05 pm
Tiga lokasi di Selayang diserbu, 52 warga asing termasuk tiga kanak-kanak ditahan
June 15, 2026, 11:19 am
Bilal muda meninggal dunia selepas laung azan Maghrib di Bandar Baru Selayang
June 14, 2026, 10:01 pm
