Berita Sukan
Mbappe, Olise arkitek Perancis, Norway bakal hadapi Brazil
EAST RUTHERFORD 1 JULAI –Kylian Mbappe dan Michael Olise mempamerkan gandingan luar biasa untuk mengemudi Perancis mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia selepas membenam cabaran Sweden 3-0 di Stadium MetLife, New Jersey.
Kemenangan bergaya di hadapan 80,663 penonton itu menyaksikan skuad Les Bleus bakal bertemu Paraguay, sementara dalam satu lagi perlawanan, peledak berbisa Erling Haaland muncul wira Norway untuk menempah pertemuan tumpuan menentang Brazil.
Dalam aksi pusingan 32 terbaik, Perancis mendominasi sepenuhnya permainan sejak awal pusingan, malah jentera serangan mereka hampir membuka tirai jaringan lebih awal namun percubaan Mbappe dan sepakan gunting Olise sekadar menggegar tiang gol.
Sweden yang dibimbing Graham Potter, bergelut untuk mengimbangi penguasaan bola Perancis biarpun mempertaruhkan penyerang berkualiti seperti Viktor Gyokeres dan Alexander Isak.
Kebuntuan akhirnya pecah sebelum rehat separuh masa pertama hasil rembatan Olise yang ditepis penjaga gol lawan, sebelum bola muntah itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Mbappe hasil gandingan bersama Ousmane Dembele daripada situasi sepakan penjuru.
Memasuki babak kedua, Olise terus mencuri tumpuan apabila melorongkan bola cantik di celah pertahanan Sweden untuk disudahkan oleh Bradley Barcola pada minit ke-53.
Olise melengkapkan malam gemilangnya dengan mencipta satu lagi hantaran berkualiti pada minit ke-74 yang membolehkan Mbappe melepaskan rembatan lencong untuk gol ketiga Perancis.
Dua gol peribadi dalam perlawanan itu meletakkan kapten Perancis berusia 27 tahun berkongsi kedudukan dengan Lionel Messi sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol, sekali gus menghampiri rekod keseluruhan 19 gol milik bintang Argentina itu.
Kemenangan itu amat bermakna buat kem Perancis yang menyambut kepulangan ketua jurulatih, Didier Deschamps, selepas beliau terlepas aksi terakhir peringkat kumpulan ekoran kematian ibunya.
Sementara itu di Dallas, drama berbeza berlaku apabila Norway mengesahkan slot pusingan kalah mati pertama mereka dalam sejarah Piala Dunia selepas menundukkan Ivory Coast 2-1 hasil jaringan lewat Erling Haaland pada minit ke-86.
Perlawanan itu pada mulanya menyaksikan rakan sepasukan Yan Diomande di RB Leipzig, Antonio Nusa, meletakkan Norway di hadapan menerusi rembatan melencong yang menarik.
Ivory Coast bangkit memperkemaskan permainan di separuh masa kedua menerusi bintang Manchester United, Amad Diallo.
Diallo terlebih dahulu menyelamatkan maruah pasukannya dengan mengeluarkan bola di atas garisan gol sebelum meledak gol penyamaan untuk menghidupkan peluang wakil Afrika tersebut.
Bagaimanapun, Haaland bijak menyudahkan hantaran lintang Sander Berge ketika perlawanan berbaki empat minit.
Kejayaan itu bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Norway dan Brazil pada Ahad ini.
Berita berkaitan
September 14, 2026, 9:27 am
Tak berhenti walau dah tercicir, atlet wanita buang air besar dalam seluar masa Hyrox
September 9, 2026, 12:27 pm
Basikal atlet 'ironman' Malaysia hilang, kali terakhir nampak di KLIA
September 9, 2026, 10:20 am
Piala FA: JDT ledak 10 gol tendang UM-Damansara keluar saingan
September 9, 2026, 10:14 am
Piala FA: Bumi Perlis saksi Star City mara ke suku akhir
September 9, 2026, 10:11 am
Piala FA: Gol jarak jauh bantu Kelantan City singkir Negeri Sembilan di Paroi
September 9, 2026, 9:57 am
Piala FA: Kuching City belasah KRW, mara ke suku akhir
September 7, 2026, 11:25 am
Selangor bangkit kutip 3 mata ke atas Melaka sebelum wisel penamat ditiupkan
September 7, 2026, 9:49 am
Tunku Mahkota Ismail dinobat Pemain Terbaik JSCPT 2026
September 6, 2026, 9:42 am
Kuching City leburkan rekod tanpa kalah Sabah
September 6, 2026, 9:36 am
