Berita Sukan
Ronaldo pecah rekod Piala Dunia, Sepanyol mudah tendang Austria pulang
TORONTO 3 JULAI – Portugal berjaya menewaskan Croatia 2-1 dalam aksi pusingan 32 Piala Dunia, sekali gus menamatkan impian kapten Croatia, Luka Modric untuk menjulang trofi berprestij itu dalam penampilan kelimanya.
Penyerang gantian, Goncalo Ramos menjadi wira Portugal apabila menanduk masuk hantaran lintang Rafael Leao pada masa kecederaan, ketika bintang utama mereka, Cristiano Ronaldo sekadar menyaksikan jaringan kemenangan itu dari bangku simpanan selepas dikeluarkan lebih awal.
Croatia terlebih dahulu mengejutkan skuad kendalian Roberto Martinez itu apabila memecah kebuntuan pada minit ke-53 menerusi jaringan Ivan Perisic yang menyambut hantaran Josip Stanisic.
Bagaimanapun, Ronaldo menghidupkan semula sisa perjuangan Portugal pada minit ke-68 menerusi sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan yang juga merupakan gol pertamanya dalam fasa kalah mati sepanjang sejarah penyertaannya di Piala Dunia.
Perlawanan yang berlangsung sengit itu bagaimanapun dicemari kontroversi pada minit-minit akhir apabila Croatia menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Mario Pasalic.
Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan oleh sistem video bantuan pengadil (VAR) kerana dikesan ofsaid, mencetuskan kemarahan penyokong Croatia yang bertindak membaling botol ke dalam padang sebagai tanda protes.
Pertembungan bersejarah itu turut melakar rekod baharu Piala Dunia apabila memaparkan dua pemain bukan penjaga gol (outfield players) yang berusia sekurang-kurangnya 40 tahun bertarung di atas padang, iaitu Modric dan Ronaldo.
Kekalahan itu menyaksikan legasi gemilang Modric bersama Croatia di pentas dunia berakhir di pusingan 32, selepas sebelum ini berjaya memimpin negaranya meraih gelaran naib juara pada 2018 dan tempat ketiga pada 2022.
Kemenangan dramatik itu menyaksikan Portugal mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir untuk bertemu seteru tetangga, Sepanyol pada Isnin.
Manakala, skuad La Roja terlebih dahulu mengesahkan tiket ke pusingan seterusnya selepas mempamerkan aksi dominan menewaskan Austria 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Los Angeles.
Dalam aksi terdahulu itu, penyerang Real Sociedad, Mikel Oyarzabal meledak dua gol buat Sepanyol, manakala Pedro Porro melengkapkan malam gemilang juara dunia 2010 itu dengan jaringan sulung antarabangsanya menerusi satu tandukan padu.
Kekalahan itu ternyata meragut impian besar Austria yang beraksi dalam pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama sejak 1954.
Berita berkaitan
September 14, 2026, 9:27 am
Tak berhenti walau dah tercicir, atlet wanita buang air besar dalam seluar masa Hyrox
September 9, 2026, 12:27 pm
Basikal atlet 'ironman' Malaysia hilang, kali terakhir nampak di KLIA
September 9, 2026, 10:20 am
Piala FA: JDT ledak 10 gol tendang UM-Damansara keluar saingan
September 9, 2026, 10:14 am
Piala FA: Bumi Perlis saksi Star City mara ke suku akhir
September 9, 2026, 10:11 am
Piala FA: Gol jarak jauh bantu Kelantan City singkir Negeri Sembilan di Paroi
September 9, 2026, 9:57 am
Piala FA: Kuching City belasah KRW, mara ke suku akhir
September 7, 2026, 11:25 am
Selangor bangkit kutip 3 mata ke atas Melaka sebelum wisel penamat ditiupkan
September 7, 2026, 9:49 am
Tunku Mahkota Ismail dinobat Pemain Terbaik JSCPT 2026
September 6, 2026, 9:42 am
Kuching City leburkan rekod tanpa kalah Sabah
September 6, 2026, 9:36 am
