TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Perancis terus mara jumpa Maghribi di suku akhir

By
|
Kongsi
image

PHILADELPHIA 5 JULAI - Satu sepakan penalti yang disempurnakan oleh bintang sensasi, Kylian Mbappe, memastikan Perancis mara ke pusingan suku akhir Piala Dunia 2026. 

Gol tunggal tersebut menyaksikan Les Bleus menewaskan Paraguay 1-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik yang berlangsung sengit di Stadium Philadelphia sebentar tadi.

Di peringkat suku akhir nanti, Perancis dijadualkan bertemu Maghribi yang terlebih dahulu mengesahkan tiket selepas membenam cabaran pasukan penganegara bersama, Kanada, dengan keputusan 3-0.

Dalam perlawanan terdahulu, Azzedine Ounahi muncul wira skuad The Atlas Lions apabila meledak dua gol pada separuh masa kedua. 

Bagaimanapun, Kanada terlebih dahulu mendominasi awal permainan, namun gagal memecah kebuntuan sehinggalah Maghribi membuka tirai jaringan pada minit ke-50 hasil rembatan kanan Ounahi yang menerima hantaran sepakan percuma Achraf Hakimi.

Ounahi sekali lagi mencuri tumpuan pada minit ke-82 untuk gol kedua peribadi menerusi satu serangan balas pantas hasil umpanan Brahim Díaz. 

Soufiane Rahimi, yang masuk menggantikan Ismael Saibari lepas tercedera pada minit ke-22, melengkapkan kemenangan bergaya Maghribi dengan gol ketiga pada minit akhir masa kecederaan.

Kekalahan itu menamatkan perjalanan bersejarah Kanada di pentas Piala Dunia, selepas mengejutkan ramai pihak dengan kemenangan sulung mereka di pusingan kalah mati menentang Afrika Selatan. 

Kanada juga berpeluang merapatkan jurang menerusi sepakan percuma Jonathan David dan rembatan jarak jauh Tajon Buchanan, namun kedua-duanya dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou.

Kemenangan itu menyaksikan Maghribi, yang kini berada di kedudukan keenam ranking FIFA, mencipta sejarah sebagai negara Afrika pertama yang berjaya mara ke peringkat suku akhir lebih daripada sekali. 
Ini merupakan penampilan kedua berturut-turut mereka di kelompok lapan terbaik selepas mengejutkan dunia dengan mara ke separuh akhir pada edisi 2022 di Qatar.

Pertembungan sengit di antara Perancis dan Maghribi dijadualkan berlangsung di Boston pada Khamis ini. 

Kedua-dua pasukan pastinya akan mempertaruhkan aksi terbaik demi merebut slot ke separuh akhir.

+ - reset