Berita Ekonomi
Dr. Hanafi dilantik CEO baharu Estika Medispa, catat lonjakan jualan 100 peratus
KUALA LUMPUR 8 Julai – Bekas pegawai perubatan kerajaan dan pengusaha klinik, Dr. Mohd Hanafi bin Abdull Habir secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Estika Medispa Holdings Sdn. Bhd. berikutan prestasi cemerlangnya memacu pertumbuhan syarikat.
Pelantikan itu dibuat selepas beliau membuktikan keupayaan luar biasa sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO), yang menyaksikan angka jualan Estika Medispa melonjak hampir 100 peratus dalam tempoh setahun hasil daripada penambahbaikan sistem dalaman, pengukuhan prosedur operasi standard (SOP), serta pemantapan kepimpinan klinikal.
"Saya tidak datang ke Estika Medispa untuk membina kerjaya, tetapi kerana saya percaya pada apa yang kami cuba bina bersama. Kepercayaan yang diberikan kepada saya hari ini adalah tanggungjawab yang saya tidak akan ringan-ringankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, pengasas Estika Medispa, Dr. Abdul Haq Ab Wasa akan kekal memainkan peranan penting dalam struktur syarikat sebagai Penasihat dan Pengarah Eksekutif. Beliau menyifatkan pelantikan Dr. Hanafi sebagai satu langkah pelan penggantian dan pengembangan kepimpinan yang strategik.
“Dr. Hanafi bukan sahaja memahami strategi syarikat ini, malah beliau memahami jiwanya. Itulah sebabnya saya tidak ragu-ragu untuk meletakkan amanah ini di bahunya,” ujar Dr. Abdul Haq.
Di bawah teraju kepimpinan baharu ini, Estika Medispa komited untuk memperluaskan lagi rangkaian cawangan bagi memastikan lebih ramai wanita di Malaysia mendapat akses kepada rawatan kecantikan yang selamat, berkesan, dan mampu dimiliki berteraskan perspektif perubatan yang ketat.
Seiring dengan pengumuman pelantikan itu, syarikat turut mendedahkan pelan pengembangan terbaharunya menerusi pembukaan cawangan pertama 'Headspa Estika' di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 27 Julai 2026. Premis berkonsepkan khusus untuk wanita itu bakal menawarkan perkhidmatan penjagaan rambut eksklusif termasuk penggayaan, rawatan rambut, penjagaan kulit kepala, serta rawatan kebotakan.
Ditubuhkan pada tahun 2015, Estika Medispa kini merupakan antara jenama medispa estetik terkemuka tempatan yang mengendalikan 37 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia, dengan rekod perkhidmatan melebihi 120,000 pelanggan setakat ini.
Berita berkaitan
May 7, 2026, 5:14 pm
BNM kekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus bagi tahun 2026
April 20, 2026, 12:12 pm
Pelabur luar borong RM9.5 bilion bon tempatan, Ringgit terus juara di Asia
April 18, 2026, 4:43 pm
Gangguan bekalan minyak Caltex di 5 negeri utara dan timur
April 10, 2026, 11:06 am
Bank Dunia saran Malaysia naikkan harga RON95 kepada RM2.05 seliter, kurangkan beban subsidi
April 9, 2026, 10:36 pm
Shell Malaysia mohon maaf, jamin akan utamakan bekalan stabil
April 7, 2026, 2:21 pm
Saham IJM Corp menyusut, Sunway Bhd meningkat susulan kegagalan tawaran pengambilalihan
April 1, 2026, 7:39 pm
Gagal kawal data pelanggan, BNM denda Bank Rakyat RM1 juta
April 1, 2026, 3:53 pm
