TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Ekonomi

Berhenti tepuk tangan gembira bila bangsa usahawan jatuh — Azizan Osman

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU, 23 Julai — Pengasas RichWorks Consulting Group (RCG) dan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman mengingatkan masyarakat agar lebih matang dan tidak mengagungkan budaya cepat menghukum menerusi media sosial apabila sesebuah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan fasa kejatuhan.

Beliau menegaskan bahawa episod kejatuhan bukanlah titik pengakhiran kepada sesuatu perniagaan, sebaliknya sebahagian daripada realiti dan lumrah yang terpaksa dihadapi oleh mana-mana usahawan.

“Ramai tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir, tekanan yang ditanggung oleh pemilik syarikat, keputusan sukar yang terpaksa dibuat serta pengorbanan yang dilakukan untuk mempertahankan perniagaan dan mata pencarian ramai pekerja.

"Ramai hanya melihat apabila sebuah syarikat jatuh, tetapi mereka tidak melihat berapa lama syarikat itu dibina, berapa banyak kegagalan yang telah dilalui sebelum berjaya, berapa ramai pekerja yang bergantung kepada syarikat itu dan berapa ramai ahli keluarga yang sama-sama berkorban sepanjang perjalanan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Kenyataan tersebut diberikan sewaktu berlangsungnya program Inner Circle Meeting (ICM) Johor yang disertai lebih 200 usahawan. Program berkenaan memberi fokus kepada transformasi kepimpinan, pembinaan sistem perniagaan, strategi pertumbuhan serta penyelesaian isu perniagaan secara realistik.

Sesi berkenaan turut menampilkan perkongsian insight terkini daripada tokoh pemasaran terkemuka Indonesia dan pengasas PenMCorp (MarkPlus), Bapak Hermawan Kartajaya.

Faktor kejatuhan dan peranan ‘driver’ syarikat

Mengulas mengenai kegagalan sesebuah perniagaan, Azizan menjelaskan bahawa kebiasaannya ia tidak berlaku akibat satu faktor tunggal, sebaliknya kombinasi pelbagai elemen seperti aliran tunai, persaingan, teknologi, serta keputusan kepimpinan (driver syarikat).

“Seorang mentor boleh menunjukkan jalan, tetapi yang memegang stereng tetap driver kepada syarikat itu sendiri kerana setiap keputusan berkaitan operasi, kewangan, pengambilan pekerja, pelaburan dan hala tuju syarikat akhirnya ditentukan oleh pemilik serta barisan kepimpinan organisasi.

“Sebab itu RichWorks sentiasa memberi penekanan bahawa transformasi sesebuah syarikat bermula daripada transformasi driver,” ujarnya sambil menambah cabaran terbesar PMKS hari ini adalah apabila kepimpinan perniagaan berhenti belajar ketika dinamika pasaran sentiasa berubah.

Beliau turut memetik beberapa contoh kejayaan membabitkan usahawan bimbingannya yang pernah bangkit daripada kejatuhan, antaranya Pengasas Momentum Samudera, Najib Asaddok; pengasas empayar pendidikan PTTI, Siti Farhana Abu Osman (Miss Fana); serta Dr. Kartika Wati Mohamed yang berjaya mentransformasikan jenama kesihatan Eskayvie.

Tindakan undang-undang terhadap fitnah

Dalam pada itu, RCG turut meletakkan pendirian tegas berhubung isu dakwaan serta komen berunsur fitnah atau tuduhan tanpa asas yang dilemparkan terhadap organisasi mahupun Azizan Osman secara peribadi di platform media sosial.

"Berdiam diri tidak bermaksud kami tidak mengambil tahu kerana kami sentiasa memantau setiap komen, hantaran, video dan dakwaan yang melibatkan RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman serta komuniti usahawan kami.

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan fitnah atau kenyataan palsu yang menyalahi undang-undang, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya melalui saluran perundangan bagi melindungi hak serta reputasi organisasi,” menurut kenyataan RCG.

+ - reset