Berita Berita
PRN Johor: Kemenangan besar BN suntik semangat baharu berkhidmat untuk rakyat – Onn Hafiz
JOHOR BAHRU, 11 Julai – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dengan mendahului lebih 40 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 disifatkan sebagai suntikan semangat baharu untuk terus memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat pada penggal akan datang.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau bersyukur atas mandat besar yang diberikan rakyat Johor sehingga membolehkan gabungan itu mencatat prestasi lebih baik berbanding kemenangan 40 kerusi pada PRN Johor 2022.
"Dengan penuh rasa rendah hati, saya bagi pihak kepimpinan Barisan Nasional Johor ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang telah memberikan mandat yang begitu memberangsangkan.
"Ia memberikan kami Barisan Nasional Johor semangat untuk terus berkhidmat, menyantuni rakyat dan menyelesaikan isu-isu rakyat dengan lebih baik lagi. Itu komitmen kami apabila mendapat mandat sebegini," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, malam ini.
Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor dan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap berkata, semua wakil rakyat BN yang dipilih perlu memikul amanah besar untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
Menurutnya, mandat yang diterima bukan hanya untuk penyokong BN, sebaliknya bagi memastikan seluruh Bangsa Johor terus menikmati pembangunan dan kesejahteraan.
"Mandat yang diberikan kepada kita ialah mandat untuk menjaga seluruh Bangsa Johor. Sama ada yang menyokong kita ataupun tidak, itu tidak penting. Bila kita dah menang, kita akan jaga semua bangsa, Melayu, Cina, India, Orang Asli, kita semua Bangsa Johor.
"Sama-sama kita rapatkan saf, kita buang yang keruh, kita ambil yang jernih. Musim pilihan raya negeri Johor sudah berakhir. Sekarang tanggungjawab kita adalah untuk membina Johor yang kita semua dambakan dan impikan bersama, insya-Allah," katanya.
Setakat jam 8.30 malam, BN mendahului di 49 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) mendahului di tujuh kerusi.
Berita berkaitan
July 11, 2026, 8:58 pm
Ahmad Zahid umum BN menang PRN Johor, pertahan mandat
July 11, 2026, 8:12 pm
TIDAK RASMI : Datuk Onn Hafiz Ghazi menang di DUN Machap
July 11, 2026, 7:34 pm
TIDAK RASMI: BN menang kiraan awal tentera, polis di 38 DUN - Setiausaha Agung UMNO
July 11, 2026, 5:46 pm
Onn dakwa berlaku kes 'undi hantu' di DUN Senggarang
July 11, 2026, 4:10 pm
PH dakwa ejen tempat mengundi diarah keluar di DUN Simpang Jeram
July 11, 2026, 3:50 pm
Isham Jalil sah masuk PAS
July 11, 2026, 3:27 pm
Imigresen tumpas sindiket pelacuran dalam talian, lapan individu ditahan
July 11, 2026, 3:15 pm
Hanya 42 peratus rakyat Johor keluar mengundi setakat 1 tengah hari tadi - SPR
July 11, 2026, 2:51 pm
